SAUDARA PENGARANG,
SELEPAS Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan pada 2021, Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) diperkenalkan bagi menilai tahap penguasaan murid. Memasuki tahun ketiga pemansuhan UPSR, ia kembali menjadi ‘buah mulut’ terutama dalam kalangan masyarakat.
Berdasarkan penyelidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2022, penilaian secara berterusan kepada murid sekolah rendah perlu diperkasakan setelah UPSR dimansuhkan. Pemerkasaan itu setakat ini dibuat menerusi Penilaian Berasaskan Projek (PBP) yang menjadi sebahagian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Subjek teras perlu diajar bagi memantapkan pengetahuan dan kemahiran murid, manakala mata pelajaran sokongan seperti Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan juga perlu didedahkan kepada murid sebagai sokongan dan pengukuhan.
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) sedia ada masih relevan, namun memerlukan sedikit penambahbaikan dari segi pelaksanaan dan pembelajaran murid.
Ibu bapa dan masyarakat mahu memastikan anak-anak mereka mempunyai asas ilmu pengetahuan, kefahaman dan kemahiran yang boleh menyokong kepada kehidupan sebenar.
Justeru, guru perlu dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran melalui pembugaran idea dan celik digital bagi menyokong pendidikan generasi masa depan.
Pentaksiran sedia ada ketika ini bersedia dalam mengimbangi penguasaan murid di sekolah rendah. Bagi kemasukan murid ke Sekolah Berasrama Penuh(SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), pihak berkaitan meletakkan syarat kemasukan sesuai bagi memenuhi kriteria diperlukan. Ujian Penilaian Khusus bagi mendapatkan calon sesuai diadakan dan hanya yang melepasi syarat diterima masuk. Isu penerimaan murid yang tidak berkualiti bukan faktor utama kerana pihak berkaitan telah melakukan langkah-langkah penapisan calon.
Pemansuhan UPSR adalah selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang menitikberatkan kemenjadian murid secara holistik selaras kebolehcapaian enam inspirasi murid.
Kementerian Pendidikan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan sistem pentaksiran pendidikan sesuai dan membantu penilaian guru secara berkesan.
Program-program kesedaran, pendekatan kaedah pengajaran berkesan dan penggunaan pentaksiran terkini membantu mencungkil kecenderungan murid dan melahirkan insan yang seimbang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.-UTUSAN
DR. KAMA SHAFFEEI
Pengarah Pusat Inisiatif Pemodenan
Pendidikan (NiCE) Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI)