SAUDARA PENGARANG,
KENYATAAN Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang baru-baru ini, “Perlembagaan negara menjanjikan impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal memandangkan perlembagaan ini tidak menghalang seorang bukan Melayu daripada menjadi seorang Perdana Menteri” bukanlah suatu kesalahan nyata, malah beliau layak mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Persoalannya, mengapa dari dahulu lagi DAP menikus dan hanya kebelakangan ini secara megah serta konsisten membangkitkan isu berkenaan jika bukan berkemungkinan kerana mereka merasakan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), makin ramai orang Melayu berfikiran liberal akan menyokong Pakatan Harapan (PH).
Tambahan pula di atas kertas ketika ini, sebuah parti keramat orang Melayu seperti UMNO adalah juga rakan kongsi di bawah payung kerajaan madani.
Kita percaya sehingga ke babak menjelangnya PRU16 kelak, DAP akan berterusan mempromosikan isu jawatan Perdana Menteri kepada bukan Melayu sebagai salah satu daripada manifesto parti berkenaan.
Dari sudut lain, berkemungkinan jika diteliti atas dasar kehendak perlembagaan DAP sendiri tidak melarang orang Melayu dipilih untuk memegang jawatan Pengerusi DAP Kebangsaan.
Tetapi senario berkenaan tidak pernah berlaku walaupun sudah hampir 60 tahun kewujudan parti berkenaan di negara ini.
Tidak juga menjadi kesalahan jika kenyataan seperti ‘Perlembagaan DAP menjanjikan impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal memandangkan perlembagaan ini tidak menghalang orang Melayu daripada menjadi seorang Pengerusi DAP Kebangsaan.”
Isu yang dibangkitkan bukanlah bersifat rasis tetapi lebih kepada sikap toleransi sebagai sebuah parti berbilang kaum seperti DAP.
Justeru, perlu diingatkan bahawa sebarang bentuk cubaan untuk bukan Melayu diangkat sebagai Perdana Menteri adalah satu usaha sia-sia meskipun dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Tidak keterlaluan dikatakan, sikap kepimpinan DAP yang sengaja membangkitkan isu sensitif hanya meyakinkan serta mengesahkan bahawa parti itu bukan bumbung yang selamat untuk orang Melayu dan Islam berteduh. – UTUSAN
RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik dan bekas ahli DAP