SAUDARA PENGARANG,
DALAM rancangan Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang disiarkan sebuah stesen televisyen tempatan, 23 panelis menggalakkan penubuhan kedai serbaguna koperasi masjid.
Cadagan itu merupakan satu gagasan yang baik tetapi kedai koperasi telah ditubuhkan sebelum ini tidak berjalan dengan berjaya.
Contohnya, kedai koperasi di kawasan saya sudah ditutup kerana kurang sambutan. Bagi saya, pemilik kedai koperasi harus belajar tentang selok-belok perniagaan daripada kedai serbaneka yang lebih menjadi pilihan pembeli.
Lagipun kedai serbaneka terutama yang memiliki banyak cawangan di seluruh negara pastinya berpengalaman luas dalam aspek pengurusan dan perniagaan.
Dengan pengalaman mereka, koperasi masjid dapat memajukan perniagaan sekali gus menjadi pilihan orang ramai.
Selain itu, koperasi masjid tidak seharusnya dibina di kawasan masjid sebaliknya di tempat yang selalu dikunjungi pembeli. Faktor harga juga memainkan peranan dalam menarik pembeli.
Harga di koperasi masjid sepatutnya lebih murah berbanding kedai-kedai lain memandangkan ramai yang sedang berjimat-cermat atas faktor ketidaktentuan ekonomi.
Bukan itu sahaja, koperasi masjid perlu mempelbagaikan barangan bagi memberi lebih pilihan buat pembeli. Jika barang yang dipamerkan terhad, sudah pastinya pembeli akan ‘lari’ ke kedai lain.
Begitu juga faktor pengurusan dalam menjalankan urus niaga. Jadi, pengurusi kariah masjid boleh meminta bantuan sukarela untuk menjalankan perniagaan.
Ini membolehkan operasi perniagaan dapat berjalan dengan cekap tanpa halangan.-UTUSAN
DR CH.SYAM
Seremban, Negeri Sembilan