SAUDARA PENGARANG
BERIKUTAN peningkatan kos sara hidup, ramai mahasiswa memilih untuk bekerja sambilan. Dikatakan, hampir 70 pelajar universiti sedang bekerja sambilan.
Semua sedia maklum, kos yuran dan rumah sewa kini agak mahal, maka ada sesetengah pelajar tidak cukup wang belanja.
Bekerja sambilan adalah solusi terbaik kerana biasanya di sekitar kampus terdapat banyak kerja sambilan untuk pelajar universiti. Sama ada mahu atau tidak sahaja.
Wang tidak datang bergolek begitu sahaja. Pelajar perlu berusaha bagi menampung keperluan hidup sebagai seorang mahasiswa.
Ada mahasiswa berasa gembira kerana di tempat kerja mereka boleh menghilangkan buat sementara stres belajar. Selain itu, pelajar yang bekerja sambilan boleh menambah pelbagai pengalaman.
Bukan pengalaman baik sahaja, pengalaman kurang baik juga mampu mengubah seseorang menjadi lebih baik pada masa akan datang.
Pengalaman bekerja sambilan sebelum menginjak ke alam pekerjaan sebenar semestinya dapat mematangkan mahasiswa.
Mereka sudah semestinya melalui pelbagai situasi, baik mahupun buruk. Maka, tidaklah berlakunya kejutan budaya yang melampau apabila bekerja secara tetap nanti.
Seterusnya, kesan positif yang pelajar universiti boleh peroleh adalah melawan rasa takut dan malu terhadap dunia luar. Kini, terlalu ramai anak muda mengalami masalah ini.
Perasaan takut dan malu dapat menjejaskan masa depan pelajar kerana tidak dapat menonjolkan diri mereka di mata dunia walhal mereka mempunyai bakat yang sangat luar biasa.
Ini kerana terlalu ramai mahasiswa yang pemalu dan akhirnya setelah tamat pengajian, mereka terus menganggur kerana risau akan dibuli di tempat kerja.
Tambahan pula, selain menghilangkan masalah takut dan malu, mahasiswa boleh menambah baik kemahiran komunikasi dengan bekerja sambilan sebagai pelayan, penyambut tetamu ataupun juru wang. – UTUSAN
NUR NISHA UMAIRAH MOHD. YANI, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)