SAUDARA PENGARANG,
SERANGAN rejim Israel ke atas bumi Gaza sejak 7 Oktober lalu mengakibatkan wilayah yang kecil dan padat dengan penduduk ini seakan padang jarak padang tekukur.
Dengan keluasan hanya 141 kilometer persegi dan jumlah penduduk menghampiri dua juta orang, serangan bom bertalu-talu mengakibatkan bilangan kematian yang tinggi.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sehingga ke tarikh ini, lebih 16,000 orang terkorban dan 70 peratus terdiri daripada kanak-kanak dan wanita.
Menurut laporan berita New York Times, kemusnahan teruk dan kemalangan jiwa yang tinggi ini disebabkan kempen pengeboman rejim penjajah Zionis berterusan menggunakan bom luar biasa besarnya antara 500 hingga 1,000 kilogram setiap satu.
Tujuan utama penggunaan bom besar ini untuk mendapatkan hentakan dan penembusan ke dalam bumi agar kubu dan terowong bawah tanah yang dibina Hamas dapat dimusnahkan.
Lebih menyedihkan, sasaran rejim penjajah yang pada awalnya dikatakan terhadap pejuang Hamas tetapi dengan sengaja diubah ke bangunan kediaman, masjid, sekolah, malahan hospital untuk mendapatkan hasil kemusnahan dan kemalangan jiwa maksimum.
Setakat ini, lebih 40,000 tan bom digugurkan di bumi Gaza dengan kekuatan kemusnahannya menghampiri tiga bom nuklear.
Kemusnahan di Hiroshima menyebabkan Jepun mengaku kalah pada Perang Dunia Kedua akibat satu bom nuklear digugurkan di bandar tersebut.
Lebih memburukkan keadaan, Pemerhati Hak Asasi Manusia mengesahkan penggunaan bom fosforus putih sewenang-wenangnya ke atas kawasan penduduk awam oleh rejim Zionis pada 10 dan 11 Oktober lalu.
Amnesty International juga menyiasat serangan terhadap bandar Dhayra di selatan Lubnan pada 16 Oktober lalu menggunakan bom fosforus putih oleh tentera Zionis Israel dan menggesa siasatan jenayah perang terhadap rejim itu dilakukan.
Serangan ini juga mengakibatkan kemusnahan hutan terdiri daripada pohon zaitun di sekitar kawasan tersebut yang memburukkan lagi kesan terhadap alam sekitar.
Israel mendakwa penggunaan bom fosforus putih ini dibenarkan di bawah konvensyen antarabangsa yang tidak mengklasifikasikannya sebagai senjata kimia, sebaliknya hanya dianggap agen pembakar.
Rejim Zionis langsung tidak menghiraukan sasaran dan tujuan penggunaan bom fosforus putih termasuk meledakkannya ke atas orang awam yang berselindung di sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Beit Lahia, utara Semenanjung Gaza pada 17 Januari 2009.
Fosforus putih adalah bahan kimia yang akan menyala dengan spontan apabila terdedah pada udara dan menghasilkan suhu amat tinggi antara 800 hingga 2,500 darjah Celsius.
Adalah mustahil untuk memberhentikan fosforus putih daripada terus terbakar. Api daripada pembakaran fosforus putih hanya dapat dipadamkan menggunakan pasir kering.
Walaupun begitu, fosforus putih ini akan kembali terbakar secara spontan apabila terdedah semula pada udara.
Lebih memeritkan apabila fosforus putih yang sedang cair terbakar melekat kepada permukaan kulit dan akan terus terbakar hingga ke tulang.
Kematian boleh berlaku apabila mangsa melecur teruk, kesesakan nafas kerana kurang oksigen atau kerosakan teruk organ pernafasan akibat terhidu wap fosforus pentoksida. – UTUSAN
DR. ABDULL RAHIM MOHD. YUSOFF, Pertubuhan IKRAM Johor