SAUDARA PENGARANG,
TANGGAL 7 Oktober lalu, sekali lagi dunia menyaksikan kekejaman Israel terhadap bumi Palestin dan sejak itu juga banyak spekulasi dalam kalangan masyarakat dunia tentang serangan yang dimulakan oleh pihak Hamas.
Untuk mengelak daripada cepat melatah tentang isu berbangkit ini, pengetahuan sejarah tentang konflik ini penting sebagai panduan agar masyarakat terutama anak muda tidak menyokong pihak yang salah.
Penduduk Palestin hidup dalam keadaan ditindas di tanah air sendiri. Selepas kejatuhan kerajaan Turki-Uthmaniyah, Baitulmaqdis dan Palestin jatuh ke tangan British. Rentetan daripada penjajahan tersebut, bermulalah perpindahan bangsa Yahudi secara besar-besaran ke Palestin.
Bangsa Yahudi yang menjadi mangsa anti-Semitisme atau anti-Yahudi di Eropah percaya bahawa Palestin menawarkan perlindungan untuk membina semula jati diri bangsa yang telah rosak. Sejak pendudukan pendatang Yahudi bertambah, mereka mula merampas tanah rakyat Palestin dan menghalau mereka dari tempat tinggal sendiri.
Sejak Palestin dijajah pada awal abad ke-20, situasi di sana berubah sepenuhnya.
Dahulunya Baitulmuqaddis dan Palestin menjadi tempat terbuka untuk dilawati kerana ia merupakan tempat suci oleh tiga agama samawi. Namun, kini wilayah tersebut menjadi tempat yang dikawal ketat dan tidak lagi bebas kepada sesiapap un terutama umat Islam.
Masjid yang menjadi tempat suci untuk beribadah tidak dihormati Zionis. Berlaku kejadian tembak-menembak dan keamanan di tempat ibadah tidak dihiraukan manakala kesucian masjid dicemari darah pembunuhan.
Oleh itu, keputusan Hamas memulakan serangan bukanlah sesuatu yang dianggap tidak wajar. Mereka telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menempuh segala ancaman mendatang daripada pihak musuh.
Kebangkitan ini membuktikan segala penindasan dilakukan Israel selama ini tidak dapat dibendung lagi dan tidak menemui jalan penyelesaian selain bertindak untuk mempertahankan tanah air dan juga hak umat Islam yang dicabuli setelah sekian lama.
Serangan Hamas bukan satu bentuk serangan pengganas tetapi untuk membuka mata dunia supaya tidak memandang rendah kepada mereka yang ditindas.
Tiada sesiapa mahu bermusuh jika semuanya dibahagikan secara adil.
Israel patut sedar di mana kedudukan mereka sebagai pelarian di Palestin. Ia merupakan satu penghinaan buat bangsa Yahudi sendiri yang memperlakukan seolah-olah mereka pemilik asal tanah Palestin yang pada hakikatnya menumpang di tanah orang.
Justeru, pengetahuan sejarah amat penting dalam mengulas isu ini agar masyarakat tidak termakan dengan propaganda Yahudi yang memburuk-burukkan Islam. Ia juga dapat menghindarkan kita daripada menyalahkan mana-mana pihak dengan tindakan mereka yang dilihat hanya merugikan rakyat, namun hakikatnya ia jalan terbaik untuk mereka.-UTUSAN
NUR ATIQAH MOHAMAD YATIM
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya