SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, saya terbaca mengenai beberapa restoran di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang berjaya mendapat pengiktirafan berprestij, iaitu bintang Michelin (Michelin Star).
Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa bangga kerana sistem rating bintang Michelin yang diiktiraf seluruh dunia berjaya mengembangkan sayapnya ke tanah air kita khususnya di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Saya teruja apabila sistem rating bintang Michelin yang berusia hampir 122 tahun ini berjaya diperoleh beberapa restoran di negara ini.
Ini adalah satu penanda aras bahawa budaya kulinari tempatan sememangnya layak diberikan anugerah bintang Michelin.
Ini kerana negara kita mempunyai banyak rangkaian restoran yang memiliki keunggulan tersendiri dalam menentukan kualiti bahan digunakan, kreativiti hidangan, penguasaan rasa, teknik memasak, nilai untuk wang dan konsistensi.
Pengiktirafan bintang Michelin kepada restoran-restoran di Malaysia membuka satu lembaran baharu dalam kehebatan dan keajaiban masakan tempatan yang penuh kepelbagaian dan berwarna-warni.
Bagi pemilik restoran, memiliki bintang Michelin adalah kebanggaan dalam penyediaan hidangan yang sedap dan perkhidmatan berkualiti.
Saya juga sentiasa mengikuti perkembangan dunia masakan sama ada melalui media sosial mahupun akhbar tempatan. Malangnya, saya jarang menemui maklumat terkini di akhbar-akhbar tempatan.
Saya sangat berharap agar disiarkan lebih kerap tentang penilaian bintang Michelin ini mahupun maklumat lanjut mengenai Panduan Michelin supaya pembaca dapat mengetahui lebih lanjut tentang restoran-restoran yang telah menerima bintang Michelin.
Saya ingin mencadangkan agar pihak akhbar dapat berkongsi maklumat mengenai maklumat berkaitan sistem penilaian Michelin dan bagaimana cara-cara pemilihan bintang Michelin ini dilakukan.
Ini supaya masyarakat dapat mengetahui lebih lanjut kebaikan restoran atau tempat makan yang termasuk dalam pemilihan bintang Michelin. – UTUSAN
PENCADANG, Kuala Lumpur