SAUDARA PENGARANG,
FAEDAH paling mustahak dalam penganjuran program atau kem motivasi adalah untuk membuka mata dan minda pelajar tentang kepentingan motivasi diri.
Mungkin ibu dan bapa atau ahli keluarga di rumah terlepas pandang perkara ini tetapi pihak sekolah yang merupakan institusi pendidikan perdana seharusnya mendidik tentang pentingnya motivasi diri.
Namun begitu, baru-baru ini gempar beberapa perunding motivasi memaparkan idea luar kotak yang mendapat respons dan kritikan daripada banyak pihak, khususnya ibu bapa. Mereka merasakan anak mereka ‘dijual’ sebagai bakat percuma tanpa diizinkan.
Perunding motivasi ini juga tidak teragak-agak menggunakan nama sekolah, guru dan murid tanpa memohon izin untuk merakam dan sebaran. Tak cukup dengan itu, mereka menjadikan kesalahan tersebut sebagai alat untuk memperdagangkan kepopularan demi kepentingan sendiri.
Pemasaran percuma disalah guna dengan mendedahkan identiti yang tidak sepatutnya.
Selain itu, jenaka kata pikat dijadikan salah satu perkara ‘wajib’ dalam program. Apakah objektif berkenaan? Sengaja atau tidak disengajakan? Ya, saya faham jika hanya untuk selingan atau bahan jenaka tetapi ia wajar dan perlu dihentikan kerana tidak mendatangkan faedah.
Jika terus dilakukan, ia bukan sahaja menjadikan generasi muda bermuka tembok, malah boleh menjadi barah jika tidak dikekang awal. Tidak ada ideakah pasukan konsultan untuk menjadikan program nampak lebih menarik dan seronok?
Penganjuran program atau kem motivasi adalah medan terbaik untuk pelajar membentuk keterampilan diri yang lebih unggul dan cemerlang. Guru, ibu bapa serta perunding motivasi seharusnya sentiasa menggunakan pendekatan lebih menarik dan sesuai dengan persekitaran pelajar dalam menganjurkan program supaya dapat menarik minat mereka.
Pihak sekolah perlu membuat ‘ulang kaji’ terlebih dahulu jika mahu menjemput mana-mana penceramah atau konsultan berdasarkan rekod dan kisah kejayaan mereka. Sesungguhnya jika usaha ini diperkasa dan dilaksana dengan efisien, generasi muda akan bebas daripada dibelenggu masalah sosial serta dapat melonjak kemampuan masyarakat tempatan untuk menjadi komuniti madani.-UTUSAN
AMIR AKHMAL BAHARIN
Pengerusi Kesatuan Pemuda
Islam (KEMUDI)
Taiping, Perak