SAUDARA PENGARANG,
TEKNOLOGI maklumat (IT) telah menyapa dunia dan mengubah landskap kehidupan moden dengan cepat. Namun, sambutan terhadap perubahan ini tidak seragam, terutama dalam kalangan warga emas yang mungkin berasa terasing dengan kemajuan teknologi.
Bagaimana kita dapat memastikan mereka tidak dipinggirkan dan boleh beradaptasi dengan era digital? Proses ini bukan sekadar pengajaran aspek dasar tetapi satu usaha berterusan untuk melahirkan warga emas yang celik IT.
Latihan asas menjadi titik permulaan yang penting, di mana peserta dengan kesabaran dan bimbingan tepat akan dapat memahami asas penggunaan peranti seperti komputer atau tablet. Ini adalah langkah awal yang memerlukan kesungguhan dalam membimbing warga emas melepasi batas keselesaan mereka.
Selain itu, warga emas perlu memahami manfaat internet dan belajar untuk menggunakan pelayar bagi mencari maklumat. Namun, tidak dilupakan adalah aspek keselamatan dalam talian yang memerlukan perhatian serius terutama dengan peningkatan ancaman penipuan.
E-mel dan media sosial boleh menjadi jambatan yang menghubungkan warga emas dengan keluarga dan teman-teman. Memahami nilai praktikal teknologi akan membuka mata warga tua terhadap manfaat yang sebelumnya mungkin diabaikan.
Pentingnya merancang latihan mengikut keperluan dan minat individu tidak boleh diabaikan. Adakah warga emas ingin mengakses berita, berbelanja dalam talian atau mendengar muzik.
Latihan sesuai akan memberi kesan lebih baik dan cepat. Inilah faktor utama di mana bimbingan peribadi dan sokongan keluarga sangat diperlukan.
Proses melahirkan warga emas yang celik IT bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keharusan. Dengan jadual latihan teratur, aplikasi yang diperkenalkan secara berperingkat-peringkat dan pendekatan penuh empati dan kesabaran, kita akan dapat memastikan warga emas tidak ketinggalan di tengah-tengah revolusi digital. – UTUSAN
MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor