Jangan membisu, tutup mata kebanjiran warga asing - Utusan Malaysia

Jangan membisu, tutup mata kebanjiran warga asing

ISU kebanjiran warga asing di Malaysia sekarang bukan masalah yang remeh dan terpencil. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas mengenai rombakan besar-besaran kerajaan perpaduan selepas memerintah selama setahun baru-baru ini bagi menyesuaikannya dengan cabaran semasa.

Pada masa sama, empat kementerian baharu diwujudkan iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Komunikasi serta Kementerian Digital.

Apa pun bagi saya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih mengetahui kewajaran melakukan rombakan Kabinet beliau.

Apabila berubahnya barisan Kabinet, rakyat turut mahukan perubahan terutama bagi menangani isu kebanjiran warga asing yang dikatakan berjumlah hampir lima juta orang.

Saya berharap sangat agar barisan Kabinet baharu ini seperti Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menilai semula keberadaan warga asing khususnya yang datang ke negara ini.

Tidak salah menarik seberapa banyak pelancong dan pekerja untuk datang ke negara ini tetapi warga asing yang melanggar syarat imigresen seperti menyalahi visa pelancongan dan permit kerja perlu dikenakan tindakan tegas.

Dapat dilihat sekarang, kementerian berkaitan dilihat gagal dan kurang bermaya dalam menguruskannya dengan betul, sempurna dan teratur berhubung isu warga asing yang terlalu ramai masuk ke negara ini.

Negara kita dibanjiri jutaan warga asing yang kebanyakannya tidak mengikut peraturan seperti membuka penempatan haram, berniaga, mengubah suai premis perniagaan sesuka hati dan banyak lagi salah laku yang barisan Kabinet baharu ini perlu ambil tindakan.

Isu kebanjiran warga asing di negara kita sekarang memang boleh dikatakan isu besar dan kerajaan janganlah menganggap ia isu remeh dan terpencil yang masih boleh ditangani.

Kementerian yang diamanahkan untuk menjaga keselesaan hidup rakyat pula perlu memastikan ekonomi, premis perniagaan, perumahan dan sebagainya tidak dimonopoli oleh warga asing. – UTUSAN

KECIL JADI KAWAN, BESAR JADI LAWAN, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya