SAUDARA PENGARANG,
PENDIDIKAN memegang peranan penting dalam membentuk generasi masa depan. Namun, isu waktu pembelajaran terlalu panjang di sekolah menengah menjadi kebimbangan yang perlu ditangani secara serius.
Sistem pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan waktu pembelajaran dari pukul 7.30 pagi hingga 2.30 petang, sementara sekolah yang memiliki dua sesi tamat pukul 1 petang.
Walaupun kedua-dua kumpulan sekolah ini menggunakan sukatan pelajaran yang serupa, keputusan peperiksaan dan pencapaian kokurikulum menunjukkan perbezaan minimum.
Cuaca panas selepas pukul 1 petang terutama semasa musim kemarau boleh memberi kesan tidak selesa kepada guru dan pelajar di dalam bilik darjah.
Malah, kebanyakan pelajar hanya sempat menjamah makanan pada pukul 10.30 atau 11 pagi. Ini menyebabkan kelaparan serta kekurangan tenaga selain memberi impak negatif terhadap fokus dan prestasi mereka.
Penting untuk diingat bahawa sesi pembelajaran yang berlebihan mungkin kurang produktif. Pelajar dan guru mungkin mengalami penurunan tumpuan dan keletihan, menyebabkan kualiti pengajaran dan pembelajaran terjejas.
Keadaan lebih ketara ketika aktiviti kokurikulum atau kelas tambahan selepas waktu persekolahan. Sesetengah sekolah mengadakan aktiviti kokurikulum atau kelas tambahan menjelang peperiksaan.
Namun, pelaksanaan ini sering kali memberi kesan bertentangan apabila jumlah usaha dilakukan tidak sepadan dengan hasil diperoleh. Oleh itu, penting bagi KPM melihat semula jadual pembelajaran yang mungkin kurang efektif ini.
Satu pendekatan boleh diambil ialah mengurangkan kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) atau masa mengajar.
Mengurangkan masa mengajar dari tiga sesi seminggu kepada dua sesi sebagai contoh, boleh memberikan ruang untuk menyesuaikan jadual pembelajaran dan memberikan kelegaan kepada pelajar dan guru.
Selain itu, penting juga memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan pelajar dan guru. Keseimbangan antara pendidikan formal dan keperluan zikal serta mental harus dijaga.
KPM perlu memastikan sistem pendidikan yang diimplementasikan tidak hanya memberikan pengetahuan, tetapi juga memastikan kesejahteraan pelajar dan guru. – UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN, Tokoh Guru Kebangsaan