SAUDARA PENGARANG,
DALAM kita melangkah ke tahun baharu 2024, kesihatan mental perlu menjadi salah satu azam terutama dalam era pascapandemik.
Pandemik Covid-19 telah mengajar kita ten tang kekuatan daya ketahanan dan mengutamakan kesihatan mental dalam menempuh perjalanan kehidupan akan datang.
Tekanan mental tidak hanya memberi impak kepada keadaan emosi tetapi mempengaruhi kesihatan fizikal. Hormon kortisol memainkan peranan penting dalam tindak balas tekanan seseorang.
Bagi individu sihat, tahap kortisol meningkat selepas bangun tidur selama kira-kira 30 minit sebelum perlahan-lahan menurun ke tahap terendah sebelum waktu tidur.
Tekanan berpanjangan boleh menyebabkan gangguan terhadap perembesan hormon kortisol. Ketidakseimbangan kortisol berpanjangan boleh melemahkan sistem imun, meningkatkan keradangan dan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit seperti hipertensi, diabetes jenis 2, obesiti, demensia dan masalah kesihatan mental yang lebih kronik.
Dalam kajian di Jerman, ketidakseimbangan paras hormon kortisol boleh menyebabkan dua kali ganda risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung.
Stres juga boleh mempengaruhi proses penuaan. Telomere adalah pelindung di hujung kromosom ujian asid deoksiribonuk leik (DNA) yang menjaga data genetik dan membantu sel-sel berpecah dengan efektif.
Tetapi apabila sel-sel berpecah, saiz telomere ini menjadi semakin pendek.
Apabila saiz telomere terlalu pendek, sel tidak dapat berpecah lagi. Proses ini adalah sebahagian penyumbang kepada proses penuaan, penyakit-penyakit kronik seperti kanser dan boleh meningkatkan risiko kematian.
Setelah melalui pelbagai cabaran dalam hidup, kita perlu menjadikan sebahagian daripada amalan penjagaan kesihatan mental dalam rutin penjagaan diri. Antaranya beribadat, pemakanan yang baik, bersenam, mendapatkan tidur mencukupi dan mempunyai hubungan sosial positif. Jangan malu untuk mencari bantuan profesional apabila diperlukan.
Kita perlu mempunyai daya tahan yang tinggi, iaitu bangkit semula daripada kesusahan dan saat-saat sukar. Menghadapi tekanan secara sihat, mencari sistem sokongan dan mengekalkan pemikiran positif adalah antara perkara perlu diutamakan untuk mengekalkan kesihatan mental yang optimal.
Jadi, untuk tahun mendatang ini, marilah kita sama-sama berazam untuk menguruskan tahap tekanan dan memberi perhatian terhadap kesihatan mental.
Siapa yang akan menyangka bahawa rahsia untuk kekal muda adalah melalui cara kita menangani tahap tekanan dan bersikap empati dalam membantu orang lain yang memerlukan.-UTUSAN
DR. HAMIMATUNNISA JOHAR
Felow Penyelidik Kesihatan Awam
Monash University Malaysia