Jadikan muhasabah diri sebagai azam baharu 2024 - Utusan Malaysia

Jadikan muhasabah diri sebagai azam baharu 2024

TAHUN 2023 sudah berada di penghujung dan bakal melabuhkan tirainya dalam beberapa hari lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAHUN 2023 sudah berada di penghujung dan bakal melabuhkan tirainya. Hari demi hari yang berlalu sepanjang tahun ini pasti meninggalkan kesan dan pengalaman mendalam kepada seluruh umat manusia.

Paling terkesan ialah kedurjanaan Israel Zionis menzalimi umat Islam di negara berdaulat Palestin masih belum berjaya dihalang oleh masyarakat dunia.

Pengkhabaran mengenai risiko penyebaran kembali wabak Covid-19 pula perlu diambil perhatian oleh semua pihak bagi memastikan penularan kembali penyakit ini dapat dibendung segera.

Setiap daripada kita pastinya mempunyai perancangan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan dan ia adalah langkah bijak.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap perancangan pasti ada yang berjaya dilaksanakan dan sebahagiannya tidak membuahkan hasil seperti diharapkan.

Begitulah buktinya kelemahan perancangan manusia yang sentiasa terbatas dan tidak menentu, manakala takdir dan ketentuan daripada Allah SWT adalah segalanya.

Marilah kita merenung sejenak ke dalam diri dan bermuhasabah dengan menghitung kembali segala amalan dan perbuatan yang telah kita lakukan sepanjang tahun ini.

Adakah ia amalan baik diredai Allah SWT ataupun kemungkaran dan kemaksiatan yang dimurkai oleh Allah SWT?

Sering kali manusia mengeluh dengan sibuknya urusan kerjaya dan segala permasalahan dunia sehingga hati dan jiwa mereka menjadi keras serta malas untuk melakukan kebajikan dan tunduk kepada-Nya.

Penyakit seperti ini tidak wajar dibiarkan kerana ia lebih merosakkan kehidupan seorang Muslim melebihi bahayanya penularan Covid-19 yang mengancam nyawa.

Ia perlu diubati dengan segera dan dimulai rawatannya dengan bermuhasabah terhadap segala amal perbuatan sepanjang 2023 yang bakal berlalu ini. Sebagai seorang mukmin, kita perlu sentiasa merenung ke dalam diri.

Pada setiap masa, detik, jam, hari, bulan dan tahun dalam memastikan kedudukan kita masih dalam kerangka ikrar dan taat setia kepada segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Kita perlu sentiasa bertanya kepada diri sendiri, adakah kehidupan seharian dilalui ini benar-benar mengikut saranan dan teladan daripada Rasulullah SAW ataupun menyimpang jauh daripada sunnahnya?

Melalui neraca penilaian sendiri yang tidak akan menipu, maka lakukanlah perubahan dengan memperbanyakkan bertaubat dan berazam memperbaiki diri dengan menambahkan ibadah serta menjaga dan menambah baik kualitinya.

Proses muhasabah diri dapat dilakukan dengan mengajukan persoalan kepada diri sendiri dan kemudiannya menjawab sendiri persoalan tersebut seikhlas hati.

Muhasabah ini amat penting untuk dilakukan selagi hayat dikandung badan, sebelum kita menghadap Allah SWT di hari perhitungan kelak.

Sesiapa yang sentiasa menghitung diri sendiri sebelum dihitungkan di akhirat nanti, pengakhirannya akan menjadi baik lantaran konsistensi dalam muhasabah diri dan segera memperbaiki segala kelemahan diri.

Mudah-mudahan tahun baharu 2024 mampu dimulakan dengan perubahan terbaik dari dalam diri hasil daripada keikhlasan muhasabah diri pada tahun ini. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD. ASHROF ZAKI YAAKOB, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya