SAUDARA PENGARANG,
ROMBAKAN Kabinet baru-baru ini turut memberi kesan kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) tetapi kini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi diterajui Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan perpaduan.
Sebenarnya fungsi J-KOM sangat penting dalam menyampaikan mesej kerajaan. Mesej ini bersifat positif dengan menyampaikan fakta-fakta yang benar agar rakyat dapat memahami hasrat murni kerajaan untuk membangun negara dan masyarakat.
Hakikatnya, peranan J-KOM adalah untuk membina dan membentuk persepsi kumpulan sasaran. Persepsi dapat difahami sebagai proses minda bagaimana kita membaca, mentafsir dan memahami mesej yang diterima atau menanggapi apa yang berlaku di sekeliling kita.
Ia adalah cara pandang seseorang dalam memahami atau menilai suatu objek atau masalah. Persepsi akan membentuk logik walaupun ia mungkin tidak semestinya benar.
Persepsi buruk terhadap sesuatu juga boleh berlaku disebabkan sudah wujud stigma yang tidak betul dalam minda seseorang terhadap imej seseorang, kumpulan atau organisasi tertentu.
Dalam pada itu, ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, senario politik tanah air menampakkan satu trend jelas bahawa propaganda politik berunsur pembohongan dan fitnah dilakukan berulang-ulang dan konsisten oleh pihak pembangkang ketika itu berjaya membentuk persepsi buruk terhadap kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN).
Kempen pembangkang untuk menguasai minda melalui politik persepsi telah dijana dengan begitu berkesan sekali melalui ceramah-ceramah politik, penyebaran risalah dan penggunaan media sosial.
Minda kebanyakan rakyat telah dibentuk dengan persepsi yang mencemarkan imej kerajaan sehingga mendorong mereka membuat kesimpulan dan tindakan berasaskan persepsi diyakininya itu.
UMNO yang begitu lama dilihat sebagai parti induk dalam BN membela semua rakyat tanpa mengira kaum telah dipersepsikan sebagai parti rasis yang hanya melindungi orang Melayu.
Pembangkang berjaya mempersepsikannya sedemikian semata-mata untuk berkuasa bagi memenuhi agenda mereka.
Kerajaan UMNO-BN dilihat buruk kerana sudah tersebarnya persepsi bahawa ia adalah parti yang penuh dengan rasuah, penyelewengan, kronisme, nepotisme dan menzalimi rakyat.
Sebaliknya pembangkang berjaya membina dan mempamerkan imejnya sebagai parti kononnya membela rakyat, parti yang memerangi rasuah, telus dan pelbagai lagi imej-imej indah diciptanya melalui persepsi ditanamkan ke dalam minda rakyat.
Manifesto pembangkang yang menjanjikan pelbagai tawaran memukau untuk rakyat menjadi propaganda berkesan menarik sokongan rakyat.
Hakikatnya, aktiviti propaganda digunakan oleh pembangkang dengan memanipulasi mesej atau informasi bercampur baur antara yang diputarbelitkan atau disalahgunakan telah berjaya mencapai matlamat peperangan persepsi dalam menawan minda dan psikologi sehingga pembangkang berjaya mendapatkan sokongan rakyat.
Akhirnya, dengan strategi perang persepsi yang tepat dan berkesan inilah, pembangkang berjaya meraih sokongan dan undi rakyat sehingga menumbangkan UMNO-BN.
Persoalannya, apakah dalam PRU16 nanti keadaan sama berlaku ke atas kerajaan yang ada hari ini?
Setahun kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memerintah, sudah timbul pelbagai persepsi buruk terhadap pemerintah dan kerajaan akan berada di hujung tanduk sekiranya ‘sindrom penafian’ menguasai kepemimpinan kerajaan hari ini. – UTUSAN
MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas