Henti pilih pekerja sebab nama, kedudukan universiti - Utusan Malaysia

Henti pilih pekerja sebab nama, kedudukan universiti

SEMOGA majikan akan lebih terbuka dan tidak memilih pekerja berdasarkan nama dan kedudukan universiti sebaliknya menilai kualiti akademik serta kemahiran tambahan yang graduan miliki.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MAJIKAN hari ini mahukan graduan yang holistik, yakni cemerlang dalam akademik dan sahsiah dengan memiliki pelbagai kemahiran tambahan.

Justeru, dalam konteks kualiti akademik dan pembelajaran, usaha untuk melahirkan lebih ramai graduan kelas pertama yang holistik wajar dijadikan agenda utama.

Ini perlu mencakupi inisiatif semakan dan rombakan kurikulum agar program pengajian ditawarkan relevan dengan keperluan industri semasa dan masa hadapan selain meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan melalui penyediaan fasiliti terbaik dan terkini di bilik kuliah dan makmal.

Biar universiti lebih dikenali kerana melahirkan bilangan graduan kelas pertama berkualiti dan boleh menjadi modal insan hebat kepada negara. Selain itu, usaha juga perlu ditumpukan kepada keperluan memupuk pelbagai kemahiran tambahan kepada bakal graduan.

Ini termasuk dari aspek kepimpinan, kerja berpasukan, kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan mampu menyelesaikan masalah di samping memiliki kemahiran baik dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) khususnya kemahiran analitik data dan menguasai bidang sains data yang dilihat cukup signifikan dalam pasaran kerjaya pada masa kini.

Dalam situasi negara berdepan persekitaran dunia dilatari pelbagai pergolakan, ketidakpastian, kerumitan dan kekaburan (VUCA), kita memerlukan graduan yang kompeten dan kalis cabaran masa hadapan mencakupi elemen kreatif, efisien, berfikiran jauh serta berdaya tahan. Malah kita juga memerlukan mahasiswa yang cakna dengan permasalahan rakyat serta sedia turun padang membantu masyarakat.

Senario ini membawa kepada situasi tugas dan tanggungjawab universiti semakin kompleks dan mencabar kerana berhadapan harapan dan ekspektasi ibu bapa, masyarakat, majikan dan negara. Justeru, ranking semata-mata tidak boleh dijadikan sandaran serta penanda aras kecemerlangan sesebuah universiti sebaliknya perlu fokus kepada usaha pencapaian secara holistik.

Semoga majikan akan lebih terbuka dan tidak memilih pekerja berdasarkan nama dan kedudukan universiti sebaliknya menilai kualiti akademik serta kemahiran tambahan yang graduan miliki.

Justeru, marilah kita noktahkan segala perdebatan tentang ranking. Biar universiti memeta hala tuju masing-masing mengikut keutamaan berpaksikan matlamat dan objektif yang hendak dicapai, yakni berpaksikan kualiti pengajaran, penyelidikan, pemerkasaan mahasiswa serta jaringan industri dan masyarakat. – UTUSAN

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Penganalisis isu semasa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya