SAUDARA PENGARANG,
SUDAH setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.
Salah satu sebab beliau berjaya memegang tampuk kepimpinan negara adalah kerana agenda reformasinya atau pembaharuan yang berjaya menarik sokongan rakyat.
Persoalannya, adakah Anwar masih seorang reformis atau beliau telah membelakangi idealisme yang dipegangnya dahulu?
Salah satu komponen penting dalam sebarang reformasi ialah ketersediaan pilihan kepada rakyat.
Dengan kata lain, membanteras monopoli terutama dalam bidang ekonomi sepatutnya menjadi pegangan utama sesebuah negara yang ditadbir seorang reformis.
Setakat ini, kerajaan perpaduan telah mencapai beberapa kejayaan dalam aspek ini walaupun masih terdapat ruang untuk pembaikan.
Pada Mac lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan mengkaji semula semua monopoli untuk memastikan rakyat menikmati manfaat saksama. Pendirian ini seharusnya dipuji kerana ia meletakkan pentadbiran beliau di atas landasan betul.
Seperti kita sedia maklum, hampir semua bentuk monopoli merugikan rakyat. Monopoli menafikan pilihan kepada pengguna, membenarkan pemilik menetapkan harga tidak munasabah untuk produk dan perkhidmatan substandard, selain merugikan pekerja dalam industri dimonopoli.
Setakat ini, salah satu usaha kerajaan yang amat menyerlah dalam menghapuskan monopoli adalah apabila Kementerian Pengangkutan mengarahkan pengendali lebuh raya untuk membenarkan pengguna membayar tol melalui kaedah selain Touch ‘n Go.
Selama beberapa dekad, pengguna jalan raya hanya dibenarkan membayar tol menggunakan tunai atau perkhidmatan Touch ‘n Go, tetapi kini mereka boleh menggunakan pilihan lain seperti kad kredit.
Walaupun langkah-langkah ini di atas landasan betul, kerajaan perlu menyegerakan usaha untuk menghapuskan monopoli, khususnya yang merugikan rakyat.
Baru-baru ini, dilaporkan sebuah anak syarikat milik penuh firma minyak dan gas kerajaan negeri dijadikan pengedar tunggal gas petroleum cecair (LPG) di sebuah negeri mulai 1 Disember lalu.
Sepatutnya kerajaan menggalakkan persaingan dalam kalangan penyedia perkhidmatan dan bukannya membenarkan hanya satu syarikat untuk menyediakan perkhidmatan yang amat penting ini.
Satu lagi perkembangan berkaitan dengan monopoli adalah cadangan ambil alih Grab ke atas Delivery Hero, iaitu pemilik FoodPanda. Kedua-duanya adalah pemain utama negara dalam industri penghantaran makanan.
Sekiranya ambil alih ini berjaya, yang rugi adalah rakyat. Kita hanya perlu imbau kembali bagaimana penggabungan Grab dan Uber pada 2018 menyebabkan harga perkhidmatan itu melambung naik dan kebajikan pemandu sedikit terjejas.
Sewajarnya pentadbiran kerajaan perpaduan meneliti ura-ura ini melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) terutama melibatkan industri penghantaran makanan.
MyCC harus diberi kuasa untuk menolak atau meluluskan sebarang penggabungan dan ambil alih koporat, khususnya melibatkan industri strategik.
Ini dapat memberikan badan tersebut lebih ‘taring.’ Ia juga dapat menghantar mesej bahawa kerajaan tidak bertolak ansur terhadap sebarang usaha mewujudkan monopoli yang merugikan rakyat.
Namun, secara keseluruhannya, saya berpendapat kerajaan berada di landasan betul dalam hasratnya untuk memecahkan monopoli. Banyak juga kemajuan telah direkodkan dalam bidang ini.
Anwar hanya perlu menggiatkan usaha dalam menghapuskan monopoli jika beliau benar-benar serius untuk mereformasikan ekonomi negara. – UTUSAN
RAZALI MOHD. RAHIM, Bangi, Selangor