Hanya perlu 0.12% tanah ladang untuk bina rumah - Utusan Malaysia

Hanya perlu 0.12% tanah ladang untuk bina rumah

CONTOH terbaik skim perumahan pekerja ladang yang berjaya ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN negeri yang mempunyai ramai pekerja ladang perlu menggubal enakmen baharu bagi menjamin dan melindungi hak perumahan golongan itu selaras konsep Malaysia Madani diperkenalkan kerajaan perpaduan sekarang.

Kerajaan-kerajaan negeri harus mewujudkan satu mekanisme untuk mengenal pasti dan memperuntukkan tanah bagi pelaksanaan Skim Perumahan Pekerja Ladang supaya 220,00 pekerja ladang di seluruh negara dapat memiliki rumah sendiri.

Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) pernah menyerahkan memorandum kepada dua menteri sumber manusia sebelum ini pada 2019 dan 2022.

Dua menteri terbabit bersetuju secara prinsipnya bahawa isu perumahan pekerja ladang harus ditangani dan nasib mereka harus dibela supaya tidak mengalami krisis sosial semasa bersara berikutan ketiadaan rumah yang merupakan satu hak asasi manusia.

Mengenai cadangan enakmen berkaitan dengan pemilikan perumahan sendiri bagi pekerja ladang, undang-undang tersebut perlu bagi menangani isu pemilikan perumahan pekerja ladang secara keseluruhan.

Ia perlu meliputi pembangunan tanah ladang untuk tujuan komersial termasuk mengenakan syarat bagi memastikan penginapan dan pemilikan rumah pekerja ladang tidak terjejas.

Antara contoh terbaik ialah skim perumahan Program Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang di Dengkil, Selangor untuk bekas pekerja Ladang Prang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgeley yang terpaksa ditutup berikutan pembinaan Putrajaya.

Kerajaan negeri Selangor menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah Sime Darby Berhad dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula membina 400 rumah untuk pekerja empat ladang tersebut.

Satu lagi contoh ialah Skim Perumahan PPR Ladang Siliau di Negeri Sembilan di mana Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membina 150 rumah dengan sebahagiannya untuk pekerja Ladang Siliau milik Sime Darby melalui proses pengambilan tanah dan rumah tersebut dijual menggunakan sistem sewa beli.

Pekerja-pekerja ladang adalah tulang belakang ekonomi negara kita sejak zaman sebelum kemerdekaan.

Namun, setelah mencapai kemerdekaan lebih 66 tahun, komuniti pekerja ladang masih dipinggirkan dalam arus pembangunan negara dan hidup dalam kemiskinan.

Keadaan cukup berbeza apabila syarikat perladangan gergasi berstatus syarikat milik kerajaan (GLC) pula mengaut keuntungan lumayan hasil daripada sumbangan titisan peluh pekerja-pekerja ladang.

Kerajaan dan syarikat perladangan yang dikuasainya sepatutnya tiada alasan untuk tidak memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah perumahan pekerja ladang yang telah berlarutan selama empat generasi ini.

Dianggarkan kerajaan-kerajaan negeri hanya memerlukan 8,903 hektar tanah atau 0.12 peratus daripada keseluruhan tanah ladang untuk melaksanakan skim perumahan milik sendiri bagi pekerja-pekerja ladang.

Pelaksanaan skim perumahan bagi pekerja ladang bukan sahaja tidak akan merugikan sesiapa malah akan membantu kerajaan dalam membasmi kemiskinan dan menyelesaikan kemelut masyarakat ladang yang sudah berlarutan lama. – UTUSAN

JAWATANKUASA SOKONGAN MASYARAKAT LADANG (JSML), Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya