SAUDARA PENGARANG,
PENINDASAN dan kekejaman terbaharu berlaku di Gaza belum menampakkan titik noktah dalam masa terdekat.
Pada suatu ketika, dunia melihat ada sinar untuk gencatan senjata dikuatkuasakan melalui satu draf resolusi dicadangkan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Antara kandungan draf resolusi berkenaan adalah menggesa semua pihak terlibat dalam konflik untuk mematuhi undang-undang antarabangsa terutama perlindungan orang awam, menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera dilaksanakan dan menyeru Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres melaporkan kepada Majlis Keselamatan mengenai pelaksanaan gencatan senjata.
Ditaja hampir 100 negara anggota, menerima sokongan 13 ahli Majlis Keselamatan PBB dengan United Kingdom (UK) berkecuali, akhirnya usaha ini musnah begitu sahaja apabila Amerika Syarikat (AS) tetap dengan hati keringnya, menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sejak awal konflik ini sentiasa konsisten mengecam tindak-tanduk rejim Israel yang disokong oleh AS melahirkan rasa kesal dan membantah tindakan terkini negara kuasa besar dunia itu.
Beliau turut kesal dengan sikap AS yang masih mempertahankan tindakan pembunuhan anak-anak kecil tanpa sekatan di Gaza.
“Tolonglah, kita mesti hentikan pembunuhan mereka yang tidak bersalah, orang awam, bayi dan wanita dan tidak terdapat sebab, tiada sebab langsung untuk mana-mana pihak menafikan perkara ini dan sebab itulah saya berasa sedih dengan keputusan melampau ini,” katanya.
Malah, Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Riyad al-Mansour turut menyelar Majlis Keselamatan PBB kerana kegagalannya meluluskan draf resolusi untuk gencatan senjata kemanusiaan di Gaza.
Beliau menyifatkan kegagalan itu amat dikesali dan malapetaka. Pastinya rasa kecewa, marah dan sedih atas kegagalan gencatan senjata kemanusiaan turut dirasai oleh masyarakat antarabangsa yang bersolidariti dengan Palestin sejak konflik ini tercetus.
Semenjak konflik antara Palestin dan Israel kembali marak semula 7 Oktober lalu, pihak berkuasa melaporkan lebih 17,000 penduduk terbunuh di Gaza.
Wanita dan kanak-kanak merupakan jumlah korban terbesar dalam konflik kali ini, iaitu kira-kira 70 peratus daripada angka nyawa yang melayang akibat kekejaman rejim Zionis.
Namun, sesuatu yang menarik untuk kita amati dalam konflik Palestin-Israel kali ini ialah gelombang solidariti antarabangsa yang semakin meningkat dalam menyokong hak kebebasan rakyat Palestin.
Konflik Palestin dan Israel telah lama berlarutan sejak 1948 apabila Israel mula bertapak di Palestin.
Perjuangan rakyat Palestin tidak dapat dipisahkan dengan perjuangan hak asasi manusia yang dilanggar bertahun-tahun Zionis Israel dengan penuh semberono dan boleh dianggap tindakan umpama orang gila kerana tiada nilai kewarasan, kemanusiaan dan belas ihsan.
Tiada sela masa antara tempoh itu terma aman, damai, bertenang, berbaik atau seumpamanya. Yang wujud hanyalah istilah perih, derita, penindasan dan kezaliman kepada rakyat Palestin.
Semoga titipan doa daripada seluruh umat Islam dan gelombang solidariti antarabangsa dapat memberikan kemenangan kepada rakyat Palestin yang sedang berjuang meneruskan kehidupan di sana. – UTUSAN
MOHD. ZAINI OTHMAN, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)