SAUDARA PENGARANG,
SUDAH lebih enam bulan berlalu sejak kesalahan percubaan membunuh diri dimansuhkan di negara ini.
Pada masa itu, ia dipuji sebagai satu tindakan penting dan diharapkan akan dapat mengurangkan stigma mengenai keadaan kesihatan mental seperti kemurungan.
Namun, kita tidak boleh sekadar berpuas hati kerana data nasional jelas menunjukkan trend timbul niat dalam hati untuk mengakhiri hidup dan tindakan cuba membunuh diri semakin meningkat.
Masing-masing meningkat daripada 7.9 dan 6.8 peratus dalam Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2012 kepada 13.1 dan 9.5 peratus dalam NHMS 2022.
Angka cukup membimbangkan itu sebenarnya tidak mengambil kira kesan kepada keluarga orang yang membunuh diri yang kehilangan insan tersayang.
Kesan bunuh diri yang tidak nampak di mata dan tidak terucap oleh perkataan lazimnya boleh didapati dalam kalangan mereka yang ditinggalkan oleh orang yang membunuh diri.
Mereka adalah anak-anak kecil yang kehilangan abang atau kakak, ibu bapa yang kehilangan anak, rakan sekolah yang kehilangan kawan dan seterusnya.
Tidak seperti pesakit kronik yang membolehkan orang tersayang bersedia untuk ditinggalkan, orang yang membunuh diri biasanya meninggalkan keluarga dalam keadaan tertanya-tanya, kenapa tragedi itu berlaku?
Ahli keluarga dihujani pelbagai emosi seperti perasaan terluka, keliru dan menyalahkan diri sendiri.
Emosi yang perlu dihadapi oleh ahli keluarga boleh menjadi sangat mencabar kerana trauma dan kesedihan sangat memberi kesan kepada kita semua walaupun tidak menyedarinya.
Dalam pada itu, kajian di Korea Selatan dan United Kingdom mendapati keluarga yang ditinggalkan berisiko lebih tinggi untuk mati bunuh diri juga.
Oleh itu, penting untuk bersikap empati dan mempunyai perasaan belas kasihan dalam menyiarkan sebarang maklumat dalam media sosial berkaitan kes bunuh diri bagi memastikan ia tidak memberi kesan negatif kepada keluarga yang sedang bersedih.
Atas sebab itu, semua pihak perlu meningkatkan usaha untuk bukan sahaja mencegah bunuh diri tetapi menyokong keluarga ditinggalkan oleh orang yang membunuh diri.
Sebagai individu, terdapat banyak perkara praktikal boleh kita lakukan untuk menyokong keluarga yang sedang bersedih seperti bertanya bagaimana kita boleh membantu.
Tawarkan bantuan berkaitan keperluan harian seperti menyediakan makanan atau menjaga anak-anak mereka ketika mereka menguruskan hal-hal lain.
Menjenguk keluarga terbabit dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka baik-baik sahaja dan menjadi pendengar yang baik juga akan banyak membantu.
Mana-mana pihak juga boleh menawarkan bantuan kewangan atau peluang-peluang untuk menjana pendapatan terutama jika orang yang meninggal dunia itu adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarganya.
Boleh juga mencadangkan keluarga terbabit menyertai kumpulan-kumpulan sokongan atau kaunseling profesional jika didapati mereka masih bersedih dan tidak mampu melakukan aktiviti harian.
Sebagai penutup, saya ingin menegaskan bahawa seseorang yang mengalami sebarang kesedihan atau trauma, perlulah mendapatkan bantuan awal. Tolonglah, jangan jadikan terapi sebagai pilihan terakhir.
Dalam bidang saya, saya sering bertemu orang yang menderita dalam diam bertahun-tahun lamanya dan mereka inilah yang selalu berkata, “Alangkah baiknya jika saya menyertai sesi terapi lebih awal.” – UTUSAN
DR. SERENA IN, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU)