SAUDARA PENGARANG,
DARI kecil, saya bercita-cita untuk menyambung pelajaran dalam jurusan undang-undang. Malangnya selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), permohonan melalui Unit Pusat Universiti (UPU) dalam bidang undang-undang ditolak. Mungkin kerana keputusan Bahasa Melayu hanya B+ dan tiada rezeki.
Namun, saya ditawarkan untuk sambung belajar di Jordan dalam bidang perbankan Islam dengan biasiswa penuh tajaan Yayasan Pahang. Malangnya saya belajar sekejap dan berhenti belajar.
Kemudian saya cuba menyambung pengajian di beberapa institusi pengajian tinggi tempatan tetapi semuanya ditolak kerana tempoh pengambilan siswazah sudah tamat.
Justeru, saya memilih menyambung pengajian di institusi swasta dalam jurusan asas undang-undang.
Pun begitu, terdapat isu dalaman timbul dan program kami terpaksa dibatalkan dan dimansuhkan. Kami diberi pilihan sama ada berhenti atau sambung semula pengajian secara sepenuh masa dan bermula dari awal seperti pelajar lain. Emosi dan tekanan ketika itu agak berat kerana terpaksa meneruskan pengajian secara sepenuh masa dan dalam masa pelbagai komitmen perlu diuruskan.
Namun, siapa sangka apabila tiba-tiba dikejutkan dengan wabak Covid-19 dan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kelebihan tidak perlu hadir ke kampus dan belajar secara secara maya membantu menyelesaikan kerja hakiki tanpa mengabaikan pelajaran.
Akhirnya, saya berjaya menggenggam segulung ijazah. Walaupun hanya setakat ijazah, pengalaman saya timba itu tidak dapat digambarkan. Berkenalan dengan orang hebat, jumpa pensyarah hebat dan paling penting, mematangkan kita. -UTUSAN
ABDULLAH HAKIM
Pelatih dalam kamar Sazali & Lim