Didik karakter langkah tepat - Utusan Malaysia

Didik karakter langkah tepat

PENDIDIKAN menitikberatkan pada nilai-nilai yang dizahirkan dalam bentuk karakter adalah sangat diperlukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini menjelaskan bahawa pendidikan karakter merupakan antara tiga pendekatan baharu diperkenalkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Bagi saya, langkah tersebut adalah amat bertepatan sekali kerana pendidikan karakter ini mempunyai hubungan sangat rapat dengan pendidikan nilai yang cukup penting bagi melahirkan generasi baharu Malaysia yang bebas daripada rasuah.

Dan menangani isu kurang nilai moral, etika dan empati yang kini dilihat antara ancaman utama kepada proses pembangunan negara.

Pendidikan nilai sangat berkait dengan pendidikan berfokuskan hati. Hal ini kerana nilai menjadi asas kepada pembentukan etika, adab, akhlak dan peribadi setiap individu.

Nilai berkait dengan aspek emosi yang terhasil daripada spiritual, iaitu salah satu daripada tiga komponen utama manusia selain fizikal dan intelektual.

Pendidikan berfokuskan kepada perkembangan emosi seseorang individu mampu menjadi pemangkin utama dalam penyuburan nilai-nilai asas yang membentuk individu.

Penekanan pada hati sebagai fokus kepada pendidikan mampu menawarkan pandangan menyeluruh terhadap pembentukan watak atau karakter yang dizahirkan melalui adab, etika atau akhlak seseorang.

Pembentukan watak ini melampaui pemindahan pengetahuan, iaitu pendidikan bersifat akademik atau kognitif semata-mata, tetapi sampai kepada afektif, iaitu melibatkan hati.

Hubungan akrab antara hati sebagai pusat emosi dan minda yang terletak di otak mampu untuk memberi makna kepada pengetahuan yang diperoleh.

Dalam landskap pendidikan yang terlalu berfokus pada pencapaian akademik, kehadiran nilai-nilai emosi sering diabaikan.

Keadaan ini mengakibatkan penurunan dalam aspek moral, etika dan empati dalam masyarakat.

Hasilnya, terdapat kecenderungan kenaikan insiden negatif seperti rasuah, konflik sosial dan ketidakharmonian dalam masyarakat kita.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa kita berdepan dengan masalah nilai yang sangat kronik.

Sehubungan itu, pendidikan yang menitikberatkan pada nilai-nilai dizahirkan dalam bentuk karakter sangat diperlukan demi memastikan aspek emosi dijaga dan seterusnya mampu meningkatkan kualiti keseluruhan pendidikan.

Dengan menjadikan pendidikan berfokuskan hati sebagai keutamaan untuk pendidikan hari ini, diharapkan negara mampu melahirkan individu yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi juga memiliki nilai-nilai etika tinggi yang kelak akan membentuk masyarakat lebih seimbang, harmoni, penuh kasih sayang dan empati.

Penyuburan nilai-nilai melalui pendidikan yang menitikberatkan aspek emosi, yang juga berkait rapat dengan integrasi dan jalinan hubungan yang mendasar bagi keharmonian.

Sebagai kesimpulannya, pendidikan yang menempatkan hati sebagai teras mampu mencapai sasaran Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan individu seimbang dan harmoni dari aspek, jasmani, emosi, rohani dan intelek. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. RATNA ROSHIDA AB. RAZAK, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya