Bumiputera masih majoriti di KL

Bumiputera masih majoriti di KL

MENURUT data populasi penduduk di Kuala Lumpur pada 2020, bumiputera mencatat jumlah majoriti sebanyak 47.7 peratus. – GAMBAR HIASAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERITA mengenai pilihan raya kerajaan tempatan kembali hangat apabila Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai membangkitkan semula cadangan itu dengan alasan untuk mengukuhkan sistem demokrasi khususnya di Kuala Lumpur.

Pilihan Raya yang dijalankan juga dapat memastikan pentadbiran lebih bersih, berorientasikan kerajaan pilihan rakyat dan menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bertaraf antarabangsa setanding London dan New York.

Namun, cadangan itu mendapat reaksi negatif dari parti politik nasionalis seperti UMNO dan terkini Pas. Veteran UMNO melalui Pengerusinya, Datuk Mustapha Yaakub berkata tiada keperluan berikutan struktur sedia ada sudah mencukupi.

Menurut beliau, sudah ada wakil rakyat dipilih dalam pilihan raya bagi mewakili semua kawasan Parlimen dalam Kuala Lumpur malahan terdapat juga ahli majlis pelbagai kaum yang dilantik membantu datuk bandar.

Lebih menarik, Mustapha turut berkata, cadangan itu akan menjadikan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur hanya diwakili kaum Cina khususnya DAP.

Nada sama turut diluahkan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya yang bimbang PBT akan dimonopoli kaum Cina khususnya dari DAP.

Adakah kerisauan mereka ini benar? Menurut data populasi penduduk di Kuala Lumpur dari Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2020, bumiputera mencatat jumlah majoriti sebanyak 47.7% diikuti Cina (41.6%), India (10%) dan lain-lain (0.7%).
Bagi kawasan Parlimen dalam Kuala Lumpur pula, enam kawasan adalah majoriti bumiputera iaitu Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak. Hanya lima kawasan sahaja majoriti kaum Cina iaitu Kepong, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh dan Cheras.

Rasanya tidak timbul isu penguasaan atau monopoli sesuatu kaum kerana jelas bumiputera masih majoriti di Kuala Lumpur. Tambahan pula, setiap kawasan PBT nanti mestilah akan meliputi penempatan yang didiami tiga kaum utama.

UMNO dan Pas hanyalah ibarat anjing takutkan bayang-bayang sendiri dan menjadikan DAP sebagai kambing hitam memandangkan mereka tidak mampu menyaingi kehebatan prestasi parti itu di Kuala Lumpur.

Lihatlah bagaimana rakyat London boleh mengangkat keturunan Pakistan sebagai Datuk Bandar London walhal majoriti populasi kota raya itu dari orang kulit putih sendiri.

Tambahan pula, pilihan raya kerajaan tempatan menjadi satu usaha reformasi yang seharusnya dibawa oleh Kerajaan Madani ini bagi membentuk dan melahirkan pentadbiran kerajaan tempatan yang lebih demokratik, berprestasi tinggi, mempunyai kredibiliti, telus dan berintegriti.

Ahli majlis yang dipilih oleh rakyat akan berasa bertanggungjawab dalam memastikan suasana bandar raya yang lebih efisien, selesa dan berdaya huni.

Mengorak langkah ke hadapan, polemik pilihan raya kerajaan tempatan ini tidak seharusnya dinilai berdasarkan kaum semata-mata, tetapi mesti disambut dengan kajian dan perbincangan yang muhibah antara semua pihak berkepentingan dan pakar-pakar akademik.-UTUSAN

MUHAMMAD ANDZARWIR ZAKARIA
Pertubuhan Literasi Demokrasi (Ajar Demokrasi)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya