Bukti formula asal 5G oleh DNB berjaya - Utusan Malaysia

Bukti formula asal 5G oleh DNB berjaya

PERBINCANGAN awal untuk melaksanakan 5G bermula ketika Gobind Singh Deo (kanan) memegang jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia pada 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, sebuah syarikat telekomunikasi menawarkan lebih banyak data rangkaian telekomunikasi generasi kelima (5G) kepada pelanggannya tanpa sebarang tambahan kos.

Ini sebagai respons kepada perjanjian akses 5G ditandatangani dengan Digital Nasional Berhad (DNB) sebelum itu.

Syarikat itu memaklumkan kepada pelanggannya bahawa sebaik sahaja penaiktarafan selesai, mereka boleh dengan segera menggunakan data yang baharu diperoleh.

Lebih baik lagi, tidak akan ada perubahan dalam komitmen bulanan, menjadikannya peningkatan yang kekal dan efisien dari segi kos untuk pelanggan.

Langkah syarikat itu mempromosikan peningkatan data signifikan dengan harga yang lebih rendah jelas menunjukkan kejayaan formula rangkaian borong tunggal (SWN) dipacu DNB.

Formula SWN menjadikan perkhidmatan 5G lebih mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat di setiap pelosok negara.

Justeru, kejayaan ini juga menimbulkan persoalan tentang nasib DNB dan peranannya pada masa depan di negara ini berikutan langkah kerajaan mewujudkan entiti kedua dalam pelaksanaan 5G. Keputusan mewujudkan entiti kedua secara tergesa-gesa harus dinilai semula dengan teliti.

Langkah ini berpotensi untuk memusatkan lebih banyak kuasa di tangan syarikat telekomunikasi gergasi swasta dari luar negara yang boleh membahayakan kedaulatan data negara, terutama jika syarikat itu diselubungi pelbagai kontroversi sebelum ini.

Mengambil kira konteks perkembangan terbaharu ini, penting untuk menempatkan DNB di bawah Kementerian Digital, di bawah pimpinan menterinya yang baru dilantik, Gobind Singh Deo.

Beliau bukanlah asing dengan agenda 5G ini, malahan perbincangan awal untuk melaksanakan 5G di Malaysia bermula ketika beliau memegang jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia pada 2019.

Pada waktu itu, ramai memuji beliau dalam menjadikan Malaysia sebagai antara negara terawal di rantau ini dalam melaksanakan 5G.

Beliau juga memperlihatkan keterampilan kepimpinan melalui kejayaan menurunkan harga langganan jalur lebar sehingga 25 peratus dengan pengenalan Pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) dan perluasan capaian internet di seluruh negara melalui program Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Langkah strategik ini akan memastikan agenda digital negara yang dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaksanakan dengan jayanya serta bagi melindungi masa depan teknologi dan keselamatan data negara.

Peningkatan tawaran data 5G oleh syarikat telekomunikasi tempatan adalah bukti kejayaan formula SWN di bawah DNB dan potensi teknologi 5G di Malaysia.

Masa depan teknologi 5G Malaysia bergantung pada kebijaksanaan dan kesedaran kita sebagai rakyat.

Keputusan yang dibuat hari ini akan membentuk landskap teknologi negara untuk generasi mendatang.

Adakah kita bersedia untuk menghadapi cabaran ini dengan bijak dan berkesan? Apakah tindakan yang betul dalam menghadapi teknologi 5G?

Adakah kita mahu lebih banyak kuasa diberikan kepada syarikat telekomunikasi atau kita mahu mengekalkan kawalan dan kedaulatan negara ke atas data kita sendiri?

Itu adalah soalan yang hanya masa akan mampu menjawabnya. – UTUSAN

HAJI HAMZAH, Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya