SAUDARA PENGARANG,
UMAT Islam di seluruh dunia bersatu hati dan bekerjasama menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin dengan memboikot barangan dan jenama keluaran Israel atau penyokong negara itu.
Jika dilihat, banyak produk Amerika Syarikat (AS) ‘dipangkah’ oleh umat Islam seluruh dunia kerana menyedari negara itu lantang menunjukkan sokongan serta menyalurkan dana kepada Israel.
Rakyat Malaysia khususnya sedikit sebanyak menunjukkan usaha mereka dalam memboikot produk pro-Israel. Kesan ketara ialah restoran makanan segera terkenal mengalami kekurangan pelanggan. Begitu juga jualan produk-produk yang dikaitkan dengan Yahudi tidak terjual di Malaysia.
Rakyat juga banyak membuat program kesedaran berkaitan produk yang menyokong Israel melalui aplikasi TikTok agar umat Islam dapat turut serta dalam kempen boikot barangan atau produk yang secara terangterangan menunjukkan sokongan mereka terhadap Palestin.
Usaha kecil ini mungkin dipandang remeh oleh musuh Islam, namun dengan usaha berterusan, ia mungkin dapat melumpuhkan ekonomi AS sekali gus meranapkan sistem ketenteraan Israel yang disokong oleh AS.
Dengan wujudnya kempen tersebut, ia bukan sahaja memberi tekanan kepada syarikat tetapi dapat memaksa Israel menghentikan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.
Oleh demikian, sebagai umat Islam, kita hendaklah menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap saudara Islam di Palestin yang berusaha mempertahankan bumi Islam daripada ancaman pihak musuh Islam.-UTUSAN
NURIFFAH JAMILANI
Jabatan Sejarah & Tamadun Islam
Universiti Malaya