SAUDARA PENGARANG,
DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menjana imej telah berkembang dengan pesat dan negara Malaysia tidak terkecuali.
Imej yang dijana AI ini digunakan dalam pelbagai cara, daripada iklan dan foto produk kepada seni AI yang mampu menyediakan sumber pendapatan baharu untuk perniagaan dan usahawan.
Namun terdapat beberapa cabaran yang perlu difikirkan. Satu kebimbangan besar ialah AI mungkin secara tidak sengaja memihak kepada satu budaya atau kepercayaan yang tidak baik untuk identiti Malaysia yang pelbagai.
Bagi menangani perkara ini, kerjasama dengan pakar budaya adalah diperlukan untuk memastikan AI memahami dan menghormati kepelbagaian budaya dan kepercayaan masyarakat Malaysia.
Satu lagi kebimbangan adalah mengenai maklumat palsu dan imej atau gambar mengelirukan yang tersebar, terutamanya hasil karya imej beserta teks pelbagai bahasa.
Keberadaan alatan yang mampu mengesan hasil karya palsu dalam pelbagai bahasa diperlukan. Seterusnya adalah isu privasi, terutamanya dalam mendapatkan maklumat wajah atau maklumat kesihatan masyarakat.
Perbincangan dengan pakar penjagaan kesihatan juga pihak berkaitan diharapkan dapat menghasilkan peraturan yang melindungi rakyat Malaysia secara khusus.
Selain itu adalah isu hak milik gambar juga video yang dicipta AI. Perlu diwujudkan undang-undang supaya dihormati artis dan karya mereka. Kerjasama artis tempatan dan pakar undang-undang mampu menghasilkan peraturan yang adil untuk semua.
Kerajaan Malaysia telah melancarkan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Nasional (AI) 2021-2025 yang berfungsi sebagai panduan penting untuk penyepaduan teknologi AI merentasi pelbagai sektor.
Dalam konteks imej yang dijana AI, pelan ini diharapkan dapat menangani pertimbangan etika, perlindungan privasi dan penggunaan teknologi AI yang bertanggungjawab.-UTUSAN
DR. IRMA SYARLINA CHE ILIAS
Institut Teknologi Maklumat Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIIT)