SAUDARA PENGARANG,
SETELAH setahun kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan satu penstukturan Kabinet dilakukan pada 12 Disember lalu, namun konsep Madani yang diilhamkan Perdana Menteri itu masih belum mencapai penuh objektifnya.
Setakat ini, secara tersurat dan tersirat komitmen kerajaan dalam menggapai hasrat negara Madani sudah memperlihatkan kemajuan terutama dalam memperkasa budaya ilmu dalam kalangan pemimpin dan masyarakat.
Tetapi mengenai usaha memerangi jenayah rasuah, penyelewengan kuasa dan nepotisme, ia masih belum memperlihatkan tindakan tuntas selari dengan kaedah Amar makruf nahi mungkar. Kaedah ini dapat disamakan dengan al wiqayah khyru min al-‘Ilaj (mencegah lebih baik dari mengubati) seperti keperluan mewujudkan program pendidikan umat iaitu pendidikan formal dan tidak formal bagi memupuk amalan menolak gejala rasuah.
Pun begitu, saya berpendapat konsep ihsan dalam Madani perlu difahami dan dihayati oleh setiap wakil rakyat, pihak penguatkuasa, pembuat dasar dan pelaksana dasar. Dengan ini kita dapat menoktahkan endemik rasuah.
Kedua, wujud keperluan untuk menyedia dan membekalkan maklumat dasar pendidikan tentang keadilan Islam kepada generasi muda bukan Islam khususnya dalam konteks negara berbilang kaum dan agama mengenai dasar sebagaimana dilakukan Nabi Muhammad SAW di Madinah.
Terakhir, model negara Madinah yang didirikan oleh Rasulullah SAW adalah contoh bagi pembinaan generasi madani yang holistik, sesuai dengan slogan Malaysia Madani yang telah menjadikan gagasan ini sebagai jalan Malaysia serta masyarakatnya yang berbilang bangsa dan budaya untuk terus melangkah ke hadapan.
Diharapkan pelaksanaan cadangan di atas akan membantu mempercepat proses pencapaian misi negara Madani yang diimpikan.-UTUSAN
NURUL INSYIRAH AHMAD FAKHRURRAZI
Fakulti Syariah & Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)