SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN memainkan peranan penting bagi meringankan beban rakyat melalui beberapa inisiatif seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), sekali gus mengatasi masalah perumahan setinggan di kawasan bandar.
Persoalannya adakah pembinaan rumah kos rendah itu mengambil kira kesejahteraan penghidupan penghuni secara menyeluruh? Pelaksanaan PPR menitikberatkan elemen kualiti kehidupan dan kesejahteraan sosial kepada penghuninya.
Namun, wujud permasalahan yang mengaitkan isu kesejahteraan pembangunan komuniti berkenaan apabila kesejahteraan penghidupan tidak dapat dicapai disebabkan oleh beberapa faktor yang menyumbang kepada isu kualiti perumahan PPR.
Antara faktor dalam kajian yang dilakukan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 2021 adalah seperti keselamatan, kualiti hidup, kesihatan dan fizikal rumah.
Kepentingan aspek keselamatan yang tidak dititikberatkan akan memberikan impak negatif kepada masyarakat setempat terutamanya remaja yang masih dalam proses awal perkembangan kehidupan.
Keselamatan adalah didefinisikan sebagai keadaan persekitaran yang terpelihara daripada bahaya, bencana atau gangguan yang boleh menyebabkan berlakunya sesuatu kemalangan.
Selain itu, kebanyakan masalah kesihatan yang dihadapi oleh penduduk perumahan kos rendah berpunca dari tekanan disebabkan oleh kualiti perumahan dan persekitarannya seperti kesesakan penduduk, kemudahan tempat letak kereta yang terhad, kos pengangkutan awam, tahap kebersihan yang rendah, peningkatan tahap pencemaran (udara, bau dan bunyi), keselesaan dan keselamatan.
Keadaan kualiti perumahan yang rendah akan menjejaskan tahap kesihatan penduduk perumahan di sesebuah kawasan.
Pelbagai langkah meningkatkan kualiti perumahan PPR telah dilakukan oleh kerajaan, swasta dan individu antaranya menyediakan infrastruktur lengkap dan proses penyelenggaraan secara berkala, memastikan kebersihan kawasan kediaman sentiasa terjaga dengan menerapkan amalan kitar semula dan menggalakkan aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong.
Namun, keadaan ini tidak akan dapat dipertahankan untuk suatu jangka masa yang panjang sekiranya mentaliti kebanyakan penghuni masih belum berubah ke arah pemikiran yang lebih baik.
Dapat disimpulkan bahawa kualiti kehidupan penghuni rumah PPR akan pulih secara signifikan melalui pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan secara berkesan dan berkala di samping setiap penghuni menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kesejahteraan kehidupan dapat dicapai. – UTUSAN
DR. NURUL ASHIKIN ALIAS
Felow Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya