SAUDARA PENGARANG,
PADA Oktober lalu, ketika sidang Dewan Rakyat, bekas Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar mendedahkan unjuran jumlah pekerja asing sehingga 30 September tahun ini adalah lebih 2.7 juta orang.
Jumlah itu merangkumi lebih 1.8 juta pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan lebih 150,000 pekerja asing yang belum memasuki Malaysia. Sementara pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 pula seramai 747,167 orang.
Berdasarkan jumlah itu, maka wujud keperluan untuk kerajaan dan pihak berkuasa memantau kebanjiran pendatang asing ke negara ini kerana pelbagai masalah ditimbulkan oleh golongan ini kepada penduduk tempatan selain mereka memiliki pelbagai kerenah seperti keras kepala, samseng, pengotor dan merampas pelbagai bidang pekerjaan yang sebelum ini dijalankan oleh peniaga tempatan.
Selain itu terdapat juga kegiatan mengemis dan memperalatkan agama Islam untuk mencari wang secara mudah.
Terdapat dalam kalangan mereka masuk ke kampung dan kawasan perumahan dengan memakai songkok dan berpakaian seperti orang Islam dengan membawa surah Yasin untuk mengutip derma daripada orang ramai.
Bila ditanya mengenai rukan solat serta minta mengucap dua kalimah syahadah, mereka tidak dapat menjawab dan melarikan diri.
Nyatalah mereka ini bukan beragama Islam tapi cuma berlagak sebagai Muslim untuk mengutip derma daripada orang ramai.
Diharap pihak berkuasa dapat mengambil perhatian mengenai perkara ini dan mengambil tindakan segera demi kesejahteraan hidup rakyat.-UTUSAN
ZAINUL ABIDIN TEH
Sik, Kedah