SAUDARA PENGARANG,
SEKURANG-KURANGNYA 15,000 penduduk Palestin termasuk lebih 6,500 kanak-kanak dan 3,000 wanita terbunuh sejak bermulanya kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada 7 Oktober lalu.
Dalam masa sama, Amerika Syarikat (AS) terus mempamerkan wajah ‘bermuka-muka’ dalam menangani isu hak asasi manusia sejagat.
Ini terang-terangan dapat dilihat jika sebelum ini AS begitu lantang menentang konflik Russia-Ukraine serta isu melibatkan China yang dikaitkan dengan penindasan terhadap minoriti Uighur, namun dalam konflik Palestin-Israel, AS bertindak sebaliknya.
Bahkan negara Uncle Sam itu turut menyalurkan dana ketenteraan yang besar kepada Israel walaupun Israel melakukan kekejaman dan jenayah peperangan nyata.
Tindakan AS ini hanya berlandaskan agenda peribadi untuk ‘menyerang’ negara saingan lain seperti China dan Russia.
Hak asasi hanya digunakan sebagai alasan untuk melakukan sekatan ekonomi dan sebagainya terhadap negara yang disasarkan.
Biarpun mendapat kecaman hebat masyarakat dunia, Israel kekal angkuh dan tidak mempedulikan nasib orang awam di Gaza.
Saya yakin Qatar dan Mesir mampu menjadi pengantara yang baik memandangkan kedua-dua negara mempunyai hubungan terus dengan Israel dan Hamas.
Apa yang lebih penting ialah memastikan tindakan kejam tentera penceroboh Israel terhadap rakyat Gaza dihentikan sepenuhnya, bukan sekadar gencatan senjata sementara. – UTUSAN
DR. AZMI HASSAN, Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara