SAUDARA PENGARANG,
SEBUAH puisi ditulis oleh penyair Amerika Syarikat, William Ross Wallace sekitar 1865 mempunyai rangkap-rangkap ayat yang menyebut, Kerana tangan yang menghayun buaian adalah tangan yang memerintah dunia.
Puisi itu ditulis bagi mengangkat kaum ibu pada era tersebut yang mula menyertai sektor pekerjaan sehingga ada terlibat dalam pekerjaan kolar putih.
Selain itu, mengiktiraf sumbangan wanita dalam mengubah dunia yang sedang menuju abad ke-20 pada waktu itu. Frasa tersebut menjadi peribahasa popular di seluruh dunia.
Di Malaysia dan Indonesia, frasa itu disebut sebagai, Tangan yang menghayun buaian dapat menggoncang dunia.
Sama ada ia peribahasa yang berbeza atau kebetulan hampir serupa adalah tidak penting.
Yang utama, tujuannya untuk mengekspresi penghargaan dan pengakuan bahawa wanita adalah suatu kuasa yang tidak boleh diketepikan dalam kehidupan kita hingga hari ini.
Dalam pada itu, saya berkesempatan menghadiri program Himpunan Seribu Wanita Melayu dianjurkan oleh sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita melangkaui batas politik pada 28 Oktober lalu di Shah Alam, Selangor.
Lebih 1,000 wanita Melayu berkumpul sepanjang hari dan berbincang tentang isu-isu wanita, merangkumi ekonomi, politik dalam negara dan luar negara termasuk apa yang berlaku di Palestin hari ini.
Sebanyak tujuh resolusi diluluskan termasuk bagi memperkasakan penglibatan wanita dalam pembangunan negara, pembangunan ekonomi wanita, keselamatan dan pemahaman undang-undang syariah.
Harapan daripada himpunan ini selain merealisasikan tujuh resolusi telah diputuskan, ia akan membawa satu arah tuju yang dinamik bagi membolehkan kaum ibu bersama-sama membangunkan negara sejajar dengan slogan Wanita Melayu Minda Baharu.
Hampir separuh penduduk negara ini ialah wanita. Jika sumbangan tenaga kaum ibu kita abaikan, bermakna Malaysia akan rugi separuh daripada produktiviti negara. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM, Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air