SAUDARA PENGARANG,
INOVASI bukan sekadar mencipta produk baharu tetapi lebih utama adalah menyelesaikan permasalahan dalam kehidupan seharian.
Menurut Susumu Tonegawa, penerima Hadiah Nobel dalam bidang perubatan pada 1987, terdapat tiga syarat utama seseorang menjadi kreatif, iaitu perasaan sangat ingin tahu terhadap sesuatu perkara, mempunyai keinginan tidak putus-putus untuk menangani permasalahan sedia ada dan mengintegrasikan ilmu pengetahuan sekurang-kurangnya dalam dua disiplin ilmu yang berbeza.
Sementara bagi Pengasas dan Profesor Kehormat Pengajian Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh, beliau menyenaraikan tiga syarat terpenting untuk menghasilkan satu idea inovasi yang dianggap baharu atau inovasi terobosan (breakthrough innovation), iaitu tiada unsur peniruan, persaingan dan penanda aras.
Justeru, untuk menjadi seorang yang inovatif, usahawan perlu mencipta trend baharu dan bukan sekadar menjadi pengikut trend semasa. Hal ini kerana mencipta trend baharu meletakkan kita pada kedudukan
hadapan sebagai perintis, sebaliknya mengikuti trend sedia ada menyebabkan kita terus berada di belakang sebagai pengikut semata-mata. Oleh demikian, usahawan perlulah menjadi pemimpin dengan menghasilkan produk-produk baharu yang sebelum ini tidak pernah wujud dalam pasaran.
Steve Job, Tim Cook, Bill Gates dan Elon Musk adalah contoh usahawan yang sentiasa menghasilkan penemuan baharu sehingga produk dicipta mereka berjaya menjadi fenomena global.
Syarat kedua, usahawan tidak perlu bersaing dengan orang lain untuk menghasilkan inovasi baharu. Dalam kata lain, usahawan mencipta arena atau gelanggang baharu dengan menjemput usahawan lain datang bersaing dengan kaedah dan peraturan yang telah kita sendiri tetapkan.
Syarat ketiga, dalam memastikan tiada penanda aras diamalkan, usahawan perlu sentiasa berfikir dan memperbanyakkan membaca bahan bacaan berkualiti bagi menjana buah fikiran yang segar dan baharu.
Kesimpulannya, usahawan perlu bersedia untuk belajar dan terus belajar tanpa jemu untuk mempunyai daya fikir kreatif sekali gus berupaya mencipta produk-produk baharu yang mampu menyelesaikan permasalahan masyarakat.-UTUSAN
DR. ROSSIDI USOP
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)