SAUDARA PENGARANG,
DALAM tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dari 2011 hingga 2015, pembangunan luar bandar diberi keutamaan untuk mempertingkatkan inklusiviti, selaras dengan perkembangan ke arah mencapai negara maju yang inklusif.
Pembangunan luar bandar memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar dan merangsang aktiviti ekonomi yang berasaskan pembangunan tanah dan sumber asli.
Penekanan juga diberikan kepada penyediaan infrastruktur asas luar bandar, yang telah meningkatkan liputan bekalan air dan elektrik serta jalan raya di seluruh negara.
Walaupun kita telah bermula secara baik dalam aspek itu, kerajaan perpaduan diharap dapat memperkukuhkan lagi usaha untuk membangunkan luar bandar.
Antaranya, perlu diwujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan produktiviti sektor ekonomi di luar bandar harus ditingkatkan untuk menambah pendapatan penduduk di situ.
Pelbagai langkah lain yang boleh diambil termasuk menggalakkan lebih banyak pelaburan swasta, menambah baik hubungan antara luar bandar dengan bandar, memperluaskan pelaksanaan program di bawah konsep Kampung Abad ke-21 dan menggalakkan penggunaan teknologi moden dan memperkasakan komuniti usahawan luar bandar.
Untuk merealisasi matlamat itu, saya menyokong langkah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang telah memperkenalkan Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).
Bagi SPKLB, terdapat enam bidang untuk pengukuhan keusahawanan meliputi perkhidmatan, produk makan dan minuman, pembuatan dan perkilangan, pertanian membabitkan industri hiliran dan teknologi, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan kreatif serta industri kesejahteraan.
Teknologi digital juga memainkan peranan penting kepada penduduk luar bandar dalam memasarkan produk yang dihasilkan. Teknologi digital berpotensi menghubungkan perniagaan dengan pasaran lebih besar di kawasan bandar.
Proses pendigitalan yang rumit memerlukan perubahan gaya fikir dalam masyarakat, terutamanya usahawan yang baru sahaja mula berkecimpung dalam dunia urus niaga.-UTUSAN
ARIEF SUBHAN ARMAN
Lepasan Universiti London