Usahakan projek tanam pokok zaitun,tin di Palestin

Usahakan projek tanam pokok zaitun, tin di Palestin

BELIA Palestin cuba memadamkan api di ladang zaitun di perkampungan Hawara, Tebing Barat yang cuba dimusnahkan oleh peneroka dari kawasan berhampiran penempatan Yahudi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAMAI umat Islam mendakwa berlakunya projek penanaman pokok gharqad di sekitar Palestin yang terjajah. Pokok ini disebut dalam hadis sebagai pokok Yahudi yang mana Nabi Muhammad SAW menyatakan orang Yahudi nanti akan menyorok di belakang pokok gharqad semasa berperang dengan orang Islam.

Pokok gharqad dikenali secara saintifik sebagai pokok nitraria dan lycium. Pokok ini adalah pokok liar yang tumbuh sendiri di kawasan padang pasir, termasuk di Palestin, Mekah dan Madinah.

Di perkuburan Baqi’ bersebelahan Masjid Nabi di Madinah, kawasan tersebut turut dikenali sebagai al-Baqi’ al-Gharqad kerana banyaknya pokok gharqad khususnya semasa zaman Nabi Muhammad SAW.

Faktanya, pokok ini tumbuh sendiri tanpa memerlukan projek penanaman besar-besaran. Di kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, pokok ini kelihatan tumbuh dengan subur di luar kejiranan mereka.

Tiada fakta yang menyokong wujudnya projek penanaman pokok ini di sekitar Palestin.

Apa yang pasti, sejak penubuhan negara rejim Zionis, pemimpin mereka melaksanakan projek penanaman secara besar-besaran pokok pain dan sipres. Laporan rasmi menyatakan 240 juta pokok ditanam, bertujuan ‘meng-Yahudikan’ pemandangan di sekitar Palestin.

Inilah usaha mereka untuk menghilangkan identiti Arab Palestin, iaitu pokok zaitun dan pokok tin, yang merupakan pokok natif di bumi berkat tersebut. Sama ada tentera rejim atau pendatang haram Yahudi, mereka berusaha untuk menyodok, merosakkan dan membakar pokok zaitun yang diusahakan oleh orang Arab. Projek sama turut dilakukan di Turkiye.

Kesannya, identiti setempat hilang, dan kebakaran hutan juga kerap berlaku.

Demikianlah zalimnya penjajahan yang berlaku di Palestin. Hinggakan identiti pokok tempatan turut cuba dihapuskan.

Mungkin ada baiknya pertubuhan kebajikan di negara kita atau mana-mana yayasan berkaitan kajian pertanian mengusahakan projek penanaman pokok zaitun dan tin di bumi Palestin sebagai tambahan kepada projek bantuan sedia ada.-UTUSAN

DR. AHMAD IRFAN IKMAL HISHAM
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya