SAUDARA PENGARANG,
CADANGAN menurunkan had umur kelayakan kepada 18 tahun sebagai Senator sangat tidak praktikal. Syarat dan peraturan sedia ada dalam Perkara 45(2) Keanggotaan Dewan Negara sangat ideal dan praktikal berbanding umur 18 tahun ke atas. Lagipun setiap ahli Dewan Negara mempunyai wakil-wakilnya di setiap negeri. Wakil daripada pelbagai pertubuhan belia boleh salurkan idea atau pandangan kepada Senator di setiap negeri.
Bertambah pelik lagi, syor atau cadangan yang dibuat Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bukannya datang daripada suara ahli-ahli Dewan Negara.
Tidak dinafikan Wan Junaidi memiliki pengetahuan serta pengalaman luas, namun tidak wajar bagi beliau melontarkan pandangan yang berada di luar bidang kuasanya.
Tugas beliau untuk mengawasi perbahasan di Dewan Negara bukannya mengesyorkan perkara yang tidak masuk akal atau tidak munasabah, bahkan agak tipikal sekali mahukan suara yang mewakili belia dapat didengar di dalam Dewan Negara. Perkara ini harus mengambil kira tahap kematangan dan kecerdasan minda belia itu sendiri.
Sebelum ini beliau pernah mengatakan masih terdapat lagi ruang yang membolehkan kedudukan seorang Perdana Menteri dicabar kesahihannya di Dewan Rakyat.
Adakah Wan Junaidi berpihak kepada kerajaan atau pembangkang semasa melontarkan idea ini? Perlu diketahui, golongan belia berusia 18 tahun ke atas amat kurang sesuai dipilih sebagai Senator Dewan Negara.
Usahkan dilantik menjadi Senator, remaja seusia itu yang baharu layak mengundi pun (Undi18) sudah membuatkan politik negara hampir-hampir menjadi tidak stabil.
Secara rasional, Perkara 45(2) Keanggotaan Dewan Negara hendaklah dikekalkan.
Sekiranya perlu, kerajaan harus mengkaji semula kedudukan Wan Junaidi sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.-UTUSAN
WALI TOK SONGEI
Pulau Pinang