SAUDARA PENGARANG,
KEBERADAAN Islam yang terus mendapat tempat dalam kehidupan rakyat Turkiye dan pada masa sama perlu mematuhi sekularisme yang cuba dipaksakan ketika zaman pemerintahan Mustafa Kemal Ataturk sejak 1923.
Ini menyebabkan berlakunya perseteruan yang panjang antara Islam dan sekularisme sehingga pelbagai entiti politik dan sosial yang cuba mengembalikan semula martabat Islam dikenakan tindakan perundangan kerana dianggap mencabar aliran Kemalisme.
Di tengah-tengah pertembungan itu, muncul Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Recep Tayyip Erdogan bersama rakan-rakan reformis pro-Islam lain pada 2001.
AKP kekal dominan dalam kesemua pilihan raya yang disertainya. Bagaimanapun, ia tidak diwajahkan sebagai sebuah parti Islam atas beberapa faktor.
Pertama, perundangan Turkiye melarang sebarang identifikasi agama terhadap mana-mana pertubuhan dan parti politik.
Kedua, Erdogan menyedari bahawa untuk mentadbir Turkiye, AKP perlu turut meraikan sebahagian rakyat negara itu yang terkesan dengan arus sekularisasi radikal yang menolak parti berimejkan agama.
Ketiga, Erdogan sendiri mengakui bahawa agama adalah urusan peribadi dan tidak sewajarnya dipolitikkan.
Di mata penyokongnya, Erdogan dilihat sebagai wira yang cuba mengangkat semula kedudukan Islam di Turkiye manakala di mata seterunya, Presiden Turkiye itu disifatkan sebagai ‘sultan baharu’ iaitu satu label negatif kerana sultan dilihat sebagai simbol autoritarian dan penindas yang cuba mengembalikan semula pemerintahan Islam ala-Uthmaniyah.
Tatkala dunia sekali lagi digemparkan dengan peperangan antara Palestin dan Israel, keberadaan Turkiye yang pernah mencapai kemuncak kegemilangan di bawah kerajaan Uthmaniyah wajar untuk diingati.
Sebagai kerajaan Islam yang terkuat pada zamannya, Uthmaniyah bukan sahaja menjadi penjaga dua tanah suci (Mekah dan Madinah), malah turut berperanan melindungi Baitulmuqaddis selaku tanah suci ketiga umat Islam dan Palestin secara keseluruhan.
Ketika Uthmaniyah di ambang kelemahan sekalipun, Sultan Abdulhamid II konsisten mempertahankan Palestin daripada dibeli oleh Zionis. Itulah jasa terbesar Uthmaniyah dalam memelihara hak umat Islam ke atas tanah Palestin.
Turkiye juga mempunyai jasa terhadap perjuangan Palestin sehingga Erdogan dikenali sebagai pemimpin Muslim yang lantang dan konsisten menyuarakan isu-isu kemanusiaan di Palestin dan di tempat-tempat lain.
Melalui platform Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Turkiye aktif bersuara dan pernah menganjurkan persidangan khas dengan negara-negara anggota lain bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan Palestin.
Pelbagai pertubuhan kemanusiaan Turkiye juga antara yang terkehadapan dalam memberikan bantuan kepada rakyat Palestin, contohnya ekspedisi Freedom Flotilla (turut disertai sukarelawan dari Malaysia) adalah dipimpin badan kemanusiaan dari Turkiye.
Kegigihan ini perlu dijadikan iktibar oleh Malaysia selaku negara yang sentiasa mengangkat Islam di kedudukan yang tertinggi selain terus bersama Turkiye dan negara-negara lain yang cintakan keamanan bagi membebaskan bumi Palestin. – UTUSAN
DR. MUHAMMAD KHALIS IBRAHIM
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)