Tunggu Eropah bebaskan Palestin - Utusan Malaysia

Tunggu Eropah bebaskan Palestin

PENUNJUK perasaan pelbagai agama dan bangsa menyertai Perhimpunan London untuk Palestin bagi menggesa gencatan senjata di Semenanjung Gaza di Trafalgar Square, Britain, 4 November lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

APAKAH umat Islam dan bangsa Arab menunggu negara-negara Eropah membebaskan Palestin daripada penindasan Zionis Israel? Inilah yang diperkatakan oleh Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu. baru-baru ini.

Pada hakikatnya, sebagaimana dikatakan beliau, setiap kali berlaku kekejaman Zionis Israel terhadap penduduk Palestin yang memangsakan penduduk Muslim dan Kristian, negara-negara Arab dan Islam akan mengadakan protes besar-besaran.

Itulah tindakan kebiasaan yang dilakukan sepanjang 75 tahun kewujudan negara haram Israel dan ia tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik. Namun yang anehnya, tiada usaha serius dilakukan oleh kerajaan negara Arab dan Islam di rantau tersebut untuk bertindak menghentikan kezaliman Israel.

Turkiye yang menjalinkan kerjasama dengan Israel sejak 1950 sehingga ke hari ini telah membuat berpuluh bilion nilai dagangan di antara kedua-dua negara.

Bahkan semakin zalim dan ganasnya Israel menyerang serta membunuh rakyat Palestin, semakin banyak negara-negara Arab yang dahulunya bermusuh dengan negara Zionis itu mula menjalinkan hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi dengan Israel.

Antaranya seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi serta Arab Saudi yang sedang berunding untuk menormalisasikan hubungan.

Walaupun tidak sampai mengirimkan senjata kepada penduduk Palestin untuk mempertahankan diri, setidak-tidaknya mereka boleh mengambil tindakan politik dengan memutuskan hubungan diplomatik, menghentikan kerjasama ekonomi dan menutup ruang udara negara-negara tersebut kepada Israel.

Ketika negara-negara umat Islam kekal bekerjasama dengan Israel, berlaku perkembangan menarik di Eropah apabila beberapa kerajaan dan masyarakat di negara-negara terbabit bangkit menentang kekejaman Israel.

Contohnya, Republik Ireland yang bukan sahaja lantang dalam negara mereka, tetapi juga bersuara keras dalam Parlimen Kesatuan Eropah mengutuk kekejaman dan tindakan berat sebelah segelintir kuasa Barat.

Protes besar-besaran juga telah berlaku di New York, Washington DC, London, Dublin, Paris dan Berlin melibatkan penunjuk perasaan pelbagai agama dan bangsa menjadi satu gelombang baharu yang mengecam Zionis.

Adakah bumi Palestin akan dibebaskan oleh masyarakat Eropah berbanding sebahagian negara-negara Islam yang bersekongkol dengan Israel dan menguatkan ekonomi negara Zionis tersebut.

Dalam masa sama, negara-negara aliran kiri seperti Colombia, Bolivia, Chile, Cuba, Korea Utara, Russia, China dan Vietnam lebih keras mengecam Israel dan sebahagiannya memutuskan hubungan dengan negara tersebut.

Persoalannya sampai bila umat Islam akan kekal menjadi penonton yang memprotes Israel dan mengeluarkan derma untuk membangunkan Palestin selepas negara tersebut hancur dibantai Israel?

Tetapi negara-negara umat Islam kekal menjalinkan hubungan politik dan ekonomi yang menguatkan Israel, kemudian Semenanjung Gaza diserang lagi dan kita menderma lagi untuk membangunkannya. Sampai bila kita mahu situasi berulang-ulang kali ini berlaku?

Dunia sudah berjaya menundukkan kerajaan aparteid di Afrika Selatan pada 1990-an dahulu dengan tindakan menarik hubungan politik, ekonomi dan sukan. Dunia mampu mengulangi kejayaan ini terhadap Israel.

Inilah masanya masyarakat dunia melalui para pemimpinnya mengisytiharkan pemulauan politik dan ekonomi dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Kalau benar negara-negara Arab tidak boleh diharap, biarlah harapan baharu diletakkan kepada negara-negara Eropah. – UTUSAN

ADIKA
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya