Tingkat keselamatan di sekitar bukit batu kapur

Tingkat keselamatan di sekitar bukit batu kapur

BUKIT batu kapur adalah sebahagian landskap penting Perak yang menjadi tarikan pelancong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA baru berusia enam tahun ketika tragedi melanda Kampung Kacang Putih di persekitaran Gunung Cheroh, Ipoh pada 1973. Pada malam itu hujan turun dengan lebat dan bekalan elektrik terganggu di sekitar kawasan berkenaan.

Kami yang tinggal berdekatan dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat dan kemudiannya melihat unit pasukan kecemasan tiba setelah sebahagian besar Kampung Kacang Putih ditimpa runtuhan batu yang besar dari gunung batu kapur berkenaan.

Malangnya ramai mangsa yang tidak dapat ditemui. Walaupun saya masih kecil ketika itu, insiden tersebut meninggalkan kesan mendalam, apabila mendengar kisah-kisah menakutkan yang menjadi bualan penduduk persekitaran.

Kenangan ngeri itu timbul semula apabila saya terbaca satu artikel baru-baru ini, yang memperingati ulang tahun ke-50 kejadian tragis itu. Ia mengingatkan saya tentang kehilangan nyawa, keperitan dan trauma yang terkubur bersama batu-batuan yang kini tertanam di lokasi.

Saya juga teringat tentang satu lagi kejadian melibatkan bukit batu kapur pada November 2020, yang telah meragut dua nyawa di Banjaran Hotsprings Retreat, Perak.

Tragedi di situ tidak boleh diabaikan dan dianggap sebagai suatu peristiwa yang berlaku secara kebetulan kerana semenjak peristiwa di Gunung Cheroh yang meragut 42 nyawa, terdapat 20 kejadian runtuhan yang melibatkan bukit kapur.

Sedihnya, tragedi Banjaran Hotsprings Retreat itu hanya dilaporkan pada minggu kejadian dan seterusnya luput dari perhatian dan ingatan awam. Seperti mana-mana tragedi lain, kehilangan nyawa, tidak kira berapa ramai, tidak sepatutnya dilupakan begitu sahaja.

Lebih mengecewakan lagi apabila tiada tindakan serius yang diambil oleh pihak berkuasa untuk menghindar berulangnya peristiwa kehilangan nyawa akibat runtuhan bukit batu kapur.

Baru-baru ini, saya amat terganggu apabila terbaca tentang satu kes di mahkamah yang melibatkan sebuah biara di kawasan Gunung Khantan, Perak. Dilaporkan biara tersebut bertempat di kaki gunung tersebut dan turut menduduki gua di kawasan itu secara haram.

Saya risau apabila membaca kerajaan Perak mengambil keputusan untuk membentuk jawatankuasa khas bagi menyiasat kes ini apabila biara itu menimbulkan sentimen keagamaan setelah gagal dalam rayuan di mahkamah untuk terus beroperasi, di tempat yang dimiliki oleh sebuah syarikat simen berdekatan.

Apa lagi yang perlu disiasat dan dirundingkan? Tempoh 50 tahun sudah berlalu semenjak tragedi Gunung Cheroh dan 20 tragedi yang melibatkan bukit batu kapur.

Siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku satu lagi insiden di Gunung Kanthan ini pula? Malah, tidakkah keputusan kerajaan negeri ini mencerminkan sokongan terhadap mereka yang menduduki tanah milik pihak lain secara haram? Bukankah isu keselamatan seharusnya menjadi keutamaan?

Bukit batu kapur seperti Gunung Rapat, Gunung Datok, Gunung Lang, Gunung Paniang, Gua Kandu, Gunung Tambun, Gunung Panjang, Gunung Kanthan dan Gua Tempurung adalah sebahagian landskap penting Perak.

Lokasi bukit-bukit ini terletak berdekatan dengan jalan raya, kawasan perumahan, zon pembangunan yang berpotensi, tempat tarikan pelancongan dan pelbagai struktur. Saya rasa sudah tiba masanya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, terutamanya terhadap kategori struktur atau penempatan haram.

Saya harapkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tanpa lengah dan membuat keputusan berinformasi, tanpa mengambil kira mainan sentimen beberapa pihak yang bersuara lantang. Keputusan hendaklah berpandukan pandangan pakar dan data saintifik. Elakkan tragedi seterusnya.-UTUSAN

AZLINA DIN
Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya