SAUDARA PENGARANG,
KES yang berbentuk suatu permohonan petisyen mencabar Enakmen Kanun Jenayah (Penguatkuasaan) Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 oleh pihak pemohon, iaitu Nik Elin Zuriana Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasya Tengku Abd. Rahman tidak sepatutnya dipolitikkan.
Sebaliknya, ia wajar diputuskan melalui Mahkamah Persekutuan berasaskan kepada tafsiran perundangan yang seadilnya.
Walaupun dari sudut petisyen dikemukakan kedua-dua pempetisyen yang beragama Islam layak dipertikaikan, namun nawaitu sebenar mereka yang sanggup mencabar suatu Enakmen Jenayah Syariah Islam adalah kurang jelas.
Jika berniat baik bagi tujuan penambahbaikan ke atas hukuman penguatkuasaan terhadap 18 perkara diusulkan kepada pihak mahkamah, maka ia harus dibanggakan dalam memartabatkan soal akidah orang Islam.
Sebaliknya jika dipohon supaya enakmen berkenaan dimansuhkan, maka dikhuatiri mampu menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Justeru, semua pihak harus bersangka baik sehingga suatu keputusan diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan kelak.
Dalam isu kes berkenaan sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, dari sudut mencari publisiti murahan politik amatlah tidak dialu-alukan malah tidak sepatutnya berlaku.
Jika kita renung statistik kronologi, kes yang dijadikan bahan rujukan Nik Elin adalah permohonan Iki Putra yang mencabar Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.
Pada Februari 2021, Mahkamah Persekutuan membenarkan Iki Putra mencabar undang-undang Islam negeri itu atas isu kes meliwat.
Kedua, pada Mei 2022, Nik Elin memfailkan notis usul untuk mencabar Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan.
Ketiga, pada September 2022, Mahkamah Persekutuan membenarkan Nik Elin mencabar undang-undang syariah di Kelantan. Keempat, pada Oktober 2022, Nik Elin memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan.
Kelima, pada 20 November lalu, kes berkenaan didengar di hadapan kuorum sembilan Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat. Keputusan ditangguhkan ke suatu tarikh akan ditetapkan.
Walaupun wujud tanggapan sinis atas elemen politik mengenai siapa yang menjadi kerajaan dan pembangkang ketika permulaan kes berkenaan dimulakan sehinggalah ke tarikh pendengarannya iaitu 20 November, namun ia tidak harus dipolitikkan.
Secara rasionalnya sebarang pertikaian serta kritikan berunsur politik tidak mampu menemui titik noktah sebaliknya berterusan meletakkan kedudukan kaum Melayu dan Islam bertambah cempera (berpecah belah ).
Sudah-sudahlah dengan sandiwara politik yang telah mengakibatkan kaum majoriti negara ini menjadi minoriti akibat ketamakan kuasa politik oleh pemimpin Melayu sendiri.
Maka, dalam mendapatkan penyelesaian terbaik ke atas kes berkenaan biarlah Mahkamah Persekutuan dapat memutuskan keputusannya ke atas permohonan petisyen berkenaan.
Kes berkenaan harus termeterai dari sudut perundangan negara dan bukannya oleh ahli politik.
Kita percaya panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara sendiri akan berdiri teguh dalam memartabatkan agama Islam di samping memperkukuhkan lagi kedudukan undang-undang syariah di negara ini. – UTUSAN
RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik Islam