SAUDARA PENGARANG,
WAJAH baharu bagi penerapan nilai luhur dan amalan baik dalam sistem pendidikan tinggi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mula digiatkan seawal 2017. Gagasan Flexible Education With Soul (FlexS) merupakan satu solusi berstrategik yang mendukung pemapanan ekosistem pembelajaran institusi ini berteraskan nilai.
Gagasan FlexS yang dibentuk secara bersepadu dan komprehensif adalah suatu pembelajaran berterusan yang melalui pelbagai proses dan tahap, perubahan masa dan tempat, pendekatan, kaedah pengajaran fleksibel bersesuaian dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat serta secara anjal dan dinamik.
Usaha pengembelengan tenaga akademik dilebarkan dalam aktiviti bersama pelajar, warga kampus dan komuniti sasaran dalam memberi faedah langsung dan tidak langsung kepada negeri, negara dan ummah seluruhnya.
FlexS juga merupakan komitmen UniSZA untuk mewujudkan suatu ekosistem pendidikan dan persekitaran (bi’ah) yang dinaungi nilai kerohanian atau metafizik bagi meningkatkan keyakinan diri dan membentuk personaliti unggul warganya.
Selaras itu, dalam rangkaian pemantapan FlexS, terdapat empat tunggak utama ditekankan iaitu akidah sahih (metafizik), pemikiran sahih (saintifik), sahsiah mulia dan budaya kerja profesional.
Sebagai pendidik, kita bukan sahaja mengajar ilmu akademik, malah melangkaui dimensi lain bagi melahirkan dan memperkembangkan potensi individu yang seimbang dan holistik. Roh sebagai seorang pendidik harus diterjemahkan kepada pelajarnya melalui sentuhan insani yang tidak mampu dibuat oleh mesin.
Modal insan yang kita lahirkan tidak seharusnya dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran semata-mata, tetapi juga mesti diperkukuhkan dengan akhlak terpuji dan nilai-nilai murni. Aspek akhlak, budi pekerti, integriti, amanah dan nilai-nilai murni adalah komponen intrinsik yang amat penting dalam membina bangsa dan negara.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. SYADIAH NOR WAN SHAMSUDDIN, PROFESOR MADYA DR. BERHANUNDIN ABDULLAH dan PROFESOR MADYA DR.TENGKU FATIMAH MULIANA TENGKU MUDA
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)