Sudah lama penduduk Palestin dikhianati Barat - Utusan Malaysia

Sudah lama penduduk Palestin dikhianati Barat

BRITAIN adalah penyokong kuat Israel sejak dari kejatuhan Empayar Uthmaniyah lagi. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUNGKIN ada dalam kalangan kita tertanya-tanya, kenapa kerajaan begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib penduduk Palestin sehingga menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di semua sekolah dari 29 Oktober hingga 3 November lalu?

Jawapannya kerana sudah lama penduduk Palestin menderita akibat dikhianati Barat yang mewujudkan negara Israel di situ.

Sebelum itu, Palestin cukup aman selama empat abad dari 1516 hingga 1917. Ketika berada di bawah pentadbiran Uthmaniyah, golongan Kristian dan Yahudi bebas melakukan ibadah di Baitulmuqaddis yang dianggap suci oleh ketiga-tiga agama itu.

Pada abad ke-20, keadaan berubah apabila Palestin menjadi wilayah yang dijajah British. Di bawah British, ia menjadi wilayah yang tidak lagi terbuka buat umat Islam.

Pada abad itu juga, golongan Yahudi yang bertebaran di seluruh Eropah berjaya menubuhkan Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) pada 1897 dengan tujuan mewujudkan sebuah negara bagi bangsa Yahudi.

Untuk menjayakan rancangan mereka, golongan Zionis Yahudi berusaha mempengaruhi dan mendapat simpati serta persetujuan House of Commons (Dewan Rakyat) di Britain.

Usaha itu berhasil apabila pada November 1917, satu deklarasi dikeluarkan oleh Britain dikenali sebagai Deklarasi Balfour.

Ia bukan sahaja perisytiharan menubuhkan negara Zionis Israel tetapi untuk melakukan serangan ketenteraan bagi menawan Palestin.

Sebelum itu, dalam Persidangan London 1905-1907, idea pembentukan negara penampan di Palestin di tengah-tengah dunia Islam dibangkitkan untuk diajukan kepada Perdana Menteri Britain ketika itu, Campbell Bannerman.

Tujuannya untuk membina institusi pemerintahan berbentuk kawalan di sebelah Timur Laut Mediterranean. Mereka berpendapat, bangsa terbaik untuk menjayakan perancangan kolonial ini ialah orang Yahudi.

Motif Barat ini adalah untuk memecahkan perpaduan orang Islam di sebelah Asia dan Afrika, selain menjauhkan masyarakat Islam dengan Barat supaya tamadun Islam tidak berkembang di Eropah.

Dengan cara ini, dunia Islam akan diikat dengan masalah permusuhan berpanjangan dengan Yahudi di Palestin.

Justeru, dunia Barat rela dan sedia memberikan sokongan kuat kepada negara haram Israel sekali gus memastikan kelemahan dunia Islam secara berterusan.

Pada 1918, selepas Perang Dunia Pertama, Baitulmuqaddis dan Palestin jatuh ke tangan British secara rasmi.

Bermula penjajahan British (1918-1947) itulah berlakunya perpindahan besar-besaran bangsa Yahudi dari Eropah ke Palestin. Pada 14 Mei 1948, diwartakan secara rasmi kelahiran negara baharu, iaitu Israel.

Sebaik sahaja pembentukan negara Zionis Israel diumumkan, Presiden Amerika Syarikat, Harry Truman terus memberikan sokongan kuat kepada Israel.

Selagi seluruh bumi Palestin tidak jatuh ke tangan Zionis Israel, selagi itulah siri-siri keganasan akan diteruskan dan kini tumpuan mereka ke atas Semenanjung Gaza yang menyaksikan serangan dan pencerobohan amat dahsyat di luar batas kemanusiaan. – UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya