SAUDARA PENGARANG,
TERIMA kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mempertimbangkan untuk mewujudkan bantuan sara hidup bulanan khusus untuk isi rumah miskin tegar.
Seperti yang dilaporkan pada 6 November lalu, Anwar berkata, kerajaan bersetuju mempertimbangkan bantuan tunai khas secara bulanan untuk melepasi pendapatan garis kemiskinan (PGK) makanan.
Beliau berkata, perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan Enam yang berlangsung baru-baru ini.
Menurutnya, cadangan tersebut meliputi isi rumah yang tidak berkemampuan menjana aktiviti pendapatan atas faktor usia atau kesihatan.
Bagi saya, bantuan sara hidup bulanan wajar juga diberikan kepada penganggur ataupun yang telah berhenti kerja yang berada dalam kategori miskin kerana bukan mudah untuk mendapat pekerjaan tetap baharu.
Untuk isi rumah miskin tegar, bantuan berjumlah RM5,000 sebulan wajar diberi manakala penganggur termasuk yang telah berhenti kerja, bantuan berjumlah RM2,700 sebulan setiap seorang perlu diberikan.
Pemberian itu tidak harus mengira taraf perkahwinan. Selain itu, golongan berusia bawah 18 tahun wajar menerima bantuan bulanan berjumlah RM800 sebulan.
Selain itu, Jualan Rahmah yang menawarkan potongan harga 45 peratus lebih murah bagi semua jenis produk makanan dan minuman serta produk penjagaan diri perlu dilaksanakan tiga kali seminggu iaitu Selasa, Rabu dan Ahad serta menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas dalam masa terdekat ini.
Manakala, tambang pada harga rahmah bagi pengangkutan awam di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang menawarkan potongan harga 50 peratus lebih murah perlu dilaksanakan dengan segera setiap hari bagi menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam.
Saya berharap Perdana Menteri menerima cadangan ini jika hendak membasmi kemiskinan tegar dengan segera. – UTUSAN
HENDAK KEMISKINAN TEGAR DIHAPUSKAN
Seluruh Malaysia