Sistem pendidikan hilang hala tuju tanpa UPSR - Utusan Malaysia

Sistem pendidikan hilang hala tuju tanpa UPSR

Ahli akademik berpendapat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak perlu dihidupkan semula sebaliknya sistem sedia ada dipertingkatkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tidak sesuai dilaksanakan ketika ini kerana dilihat menyekat usaha membentuk karakter, keupayaan dan jati diri murid.

Sebagai guru yang mengajar pada tahun kedua UPSR diperkenalkan, saya kurang bersetuju dengan kenyataan ini.

Persoalannya, semenjak UPSR diperkenalkan pada 1988 hingga dimansuhkan pada 2021, adakah karakter dan jati diri murid-murid tersekat?

Adakah sepanjang 33 tahun ujian itu menimbulkan pelbagai implikasi negatif terhadap sistem persekolahan di Malaysia?

Jawapannya, sudah tentu tidak. Sistem persekolahan digubal dengan begitu rapi sepanjang tahun untuk kemenjadian murid.

Keluarga, pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berganding bahu untuk memastikan sahsiah, kecemerlangan sukan dan pelajaran berjalan seiring. Sistem sekolah dilihat mempunyai hala tuju yang jelas untuk dicapai.

Takwim penggal persekolahan bermula Januari hingga Mei dipenuhi dengan aktiviti kokurikulum yang melibatkan sukan, kelab dan persatuan. Masuk Julai semua sekolah sudah mula Gerak Gempur dan diikuti peperiksaan percubaan UPSR.

Selepas UPSR, program-program seperti pertandingan bola sepak, bola jaring, aktiviti lawatan dan banyak lagi dengan harapan semua murid dapat menjadikan semua itu kenangan terindah. Sesi persekolahan diakhiri dengan keputusan peperiksaan.

Yang perlu difikirkan, adakah perjalanan sesi persekolahan yang mengikut takwim dilihat menyekat usaha membentuk karakter, keupayaan dan jati diri seorang murid?

Kita perlu ingat, UPSR dimansuhkan kerana pandemik Covid-19, bukan kerana ujian itu tidak bagus?

Saya amat berharap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan bijak pandai di Kementerian Pendidikan merenungkan semula implikasi apa yang berlaku setelah tiga tahun UPSR dikuburkan.

Kini, sesi pembelajaran di sekolah seperti hilang hala tuju, umpama bermain bola sepak tanpa tiang gol, bermain sampai penat tetapi tiada kepuasan dan hasil.

Bahkan, masalah disiplin semakin meningkat, kehadiran murid ke sekolah semakin membimbangkan, banyak guru kecewa dan bersara awal. – UTUSAN

MD. RAZMAN SAMAON
Cikgu pencen

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya