SAUDARA PENGARANG,
SAYA mengucapkan syabas kepada skuad bola sepak kebangsaan yang memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan langkah kanan apabila berjaya bangkit mengenepikan cabaran Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pengendali Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic sendiri akur kebangkitan luar biasa Harimau Malaya dan menerima hakikat pasukannya gagal menggunakan peluang keemasan untuk menumpaskan Malaysia setelah Malaysia menang 4-3 biarpun skuadnya mendahului 3-1 pada satu ketika.
Kemenangan Malaysia itu menyaksikan anak-anak buah Kim Pan Gon berjaya mengutip tiga mata penuh dan berada di tangga kedua Kumpulan D, berkongsi tiga mata dengan Oman yang meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Taiwan.
Namun, sebagai peminat saya sedikit terkilan kerana tiada satu pun stesen televisyen percuma yang menyiarkan secara siaran langsung perlawanan berkenaan termasuk melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang kini mempunyai saluran khas sukan.
Bukan semua rakyat Malaysia yang melanggan stesen televisyen berbayar atau mempunyai kesempatan untuk menyaksikan sendiri perlawanan di stadium terutama bagi mereka yang tinggal di luar Lembah Klang.
Apatah lagi untuk perlawanan berikutnya yang bakal berlangsung di luar negara. Rasanya RTM sebelum ini tidak pernah ketinggalan menyiarkan aksi kelayakan Piala Dunia membabitkan skuad kebangsaan. Sebagai contoh aksi kelayakan Piala Dunia 2022.
Meskipun mungkin ada kesukaran untuk stesen televisyen milik RTM dan Media Prima menyiarkan baki perlawanan seterusnya kerana isu hak penyiaran telah diputuskan tetapi harap diusahakan sesuatu.
Ini termasuk menyiarkannya di skrin besar di lokasi tumpuan umum agar lebih ramai peminat sukan nombor satu negara yang berada di seluruh pelosok tanah air dapat menonton aksi skuad Harimau Malaya secara langsung.-UTUSAN
PEMINAT BOLA
Kuala Lumpur