SAUDARA PENGARANG,
SETIAP tahun, ribuan pelajar berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang seperti pramusaji dan katering, pengurusan hospitaliti, seni kulinari, pastri serta teknologi makanan. Mereka menjadi pakar dalam dunia pemakanan dan mampu memberikan sumbangan berharga dalam industri makanan.
Oleh itu, adalah wajar memberi peluang kepada mereka untuk mengendalikan kantin sekolah dan institusi pengajian tinggi. Inisiatif ini akan memberikan manfaat berlipat ganda, iaitu pengalaman praktikal kepada graduan dan juga menyediakan makanan berkualiti kepada pelajar.
Membuka peluang menguruskan kantin sekolah kepada mereka yang mahir dalam bidang pemakanan akan dapat membentuk kumpulan usahawan muda dan mewujudkan syarikat katering berdaya saing. Ini tidak hanya memberi peluang pekerjaan kepada mereka tetapi juga belia lain yang berkaitan dengan industri pemakanan.
Selain itu, bantuan daripada agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) atau Kementerian Belia dan Sukan, mereka boleh memperoleh pembiayaan dan sokongan untuk memulakan perniagaan. Ini termasuk latihan lanjutan dalam pengurusan perniagaan, sokongan kewangan dan pelbagai insentif untuk memajukan usaha mereka.
Dengan sokongan kukuh daripada pihak berkuasa, graduan dalam bidang pemakanan akan berasa lebih bersemangat untuk menyumbangkan kepakaran dalam industri makanan tempatan.
Lebih penting lagi, hasil inisiatif ini adalah peningkatan kualiti makanan yang disediakan di kantin sekolah dan institusi pengajian tinggi. Graduan dalam bidang pemakanan tahu bagaimana untuk menyediakan hidangan sihat, berkhasiat dan lazat. Makanan berkualiti akan membantu pelajar mengekalkan kesihatan yang baik dan meningkatkan prestasi akademik mereka.
Selain aspek pemakanan, pengendalian kantin oleh belia yang pakar dalam bidang pemakanan juga akan menggalakkan budaya makanan yang sihat dalam kalangan pelajar. Mereka boleh memberikan pendidikan tentang pemakanan yang baik kepada pelajar sekali gus membantu mereka membuat pilihan makanan secara lebih bijak.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan