SAUDARA PENGARANG,
PETANG 28 Oktober lalu merupakan hari yang amat menyedihkan keluarga besar di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas menerima berita menyatakan Profesor Datin Dr. Juriah Long telah kembali ke rahmatullah.
Juriah merupakan antara ahli akademik di Fakulti Pendidikan yang rajin dan produktif.
Seingat saya, sekurang-kurangnya beliau pernah menghasilkan tiga karya ilmiah iaitu Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran, Rangsangan serta koleksi hasil kajian yang disunting bersama Profesor Emeritus Robiah Sidin, Kajian Perubahan Nilai Masyarakat Desa di Pulau Tioman, Pahang selain berpuluh artikel dalam jurnal pendidikan dan kertas persidangan peringkat kebangsaan dan luar negara.
Oleh kerana itu, saya sebagai seorang pensyarah muda sentiasa menganggap beliau sebagai suri teladan dan idola.
Sumbangan Juriah begitu banyak kepada negara dari hasil penyelidikan kumpulannya telah membantu kerajaan membuat keputusan muktamad lagi tuntas berkaitan dasar penggunaan bahasa dalam pendidikan negara. Ini berkaitan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Dasar ini menerima banyak kritikan dan bantahan daripada pihak-pihak berkaitan termasuk guru yang menghadapi pelbagai masalah dari segi pelaksanaannya. Pun begitu, dari sudut pembelajaran, umumnya sudah terbukti bahawa penyerapan ilmu jenis apa sekali pun akan lebih mudah jika disampaikan dalam bahasa pertama atau bahasa nasional sesebuah negara dan ini pernah diakui Pertubuhan Pendidikan, Sains
dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Alasan kedua pula ialah bahasa kebangsaan merupakan bahasa penyatuan pelbagai etnik serta sebagai salah satu lambang jati diri negara.
Menyusul gerak langkah Fakulti Pendidikan UKM itu, dua kumpulan lain turut membuat penelitian sama dengan jumlah responden lebih besar iaitu dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan satu kumpulan dari Johor.
Hasil kajian dua kumpulan ini didapati sama malah memperkukuh apa yang telah dibuktikan oleh penyelidik pimpinan Juriah sebelumnya.
Menerusi khidmat pengantara Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang juga penentang kuat dasar PPSMI, ketiga-tiga laporan itu telah disampaikan kepada Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet yang akhirnya bersetuju dan membuat keputusan memansuhkan pelaksanaan PPSMI.
Sayugia, amat tepat dan tidak sedikit meragukan jika saya berpendapat serta mencadangkan nama Allahyarhamah Juriah disenaraikan sebaris bersama beberapa tokoh pejuang bahasa.-UTUSAN
DR. MOHD ISA HAMZAH
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)