Segera tangani krisis makanan di zon konflik - Utusan Malaysia

Segera tangani krisis makanan di zon konflik

KETIKA ini, penduduk Gaza khususnya perlu beratur panjang untuk mendapatkan bekalan makanan selain terpaksa mencatu makanan hanya sehari sekali dan terpaksa meminum air dari sumber tidak bersih. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KAJIAN status nutrisi rakyat Palestin dari 2011 sehingga 2023 mendapati berlaku dua gejala dalam kalangan kanak-kanak di negara itu iaitu malnutrisi yang menyebabkan penurunan berat badan dan obesiti kerana pengambilan makanan tidak berkhasiat.

Ketika ini, penduduk Gaza terpaksa mencatu makanan kepada hanya sehari sekali dan terpaksa minum air dari sumber tidak bersih.

Pada masa sama, mereka mengalami kenaikan harga barangan akibat kekurangan stok, ditambah dengan kehilangan mata pencarian dan tiada sumber kewangan kukuh sehingga menyebabkan penduduk tidak mampu untuk membeli makanan.

Akibat sekatan Israel juga, mereka kehabisan minyak diesel dan kenderaan tidak dapat bergerak untuk menyalurkan air bersih ke kedai-kedai. Situasi ini menambah penderitaan rakyat.

Sekatan adalah senjata ampuh Israel untuk menekan penduduk Palestin agar tunduk dengan tekanan rejim Zionis sekali gus mengosongkan kediaman dan berhijrah ke kawasan lain.

Israel mengguna pakai taktik kotor bagi melemahkan psikologi pihak lawan dengan menyekat akses terhadap keperluan asas.

Strategi seperti ini dilakukan dengan menuang simen ke dalam mata air di kawasan al-Hijrah, selatan Hebron untuk menghalang rakyat Palestin daripada menggunakannya dalam aktiviti pertanian.

Dengan itu, mereka tidak lagi dapat meneruskan aktiviti bercucuk tanam. Israel turut memusnahkan jaringan laluan yang menyukarkan proses menghantar bantuan makanan.

Walaupun terdapat pelbagai bantuan disalurkan dari seluruh dunia, tetapi sekatan yang dilaksanakan menjadikan masalah semakin meruncing.

Bantuan banyak yang tersadai di pintu sempadan. Senario ini menyebabkan bantuan sukar disampaikan kepada penduduk Palestin.

Walaupun bantuan sampai, isu kekurangan bekalan makanan ditambah pula dengan isu ketidaksamarataan pengagihan barangan bantuan di zon konflik juga masih belaku.

Sehubungan itu, masyarakat dunia perlu mendesak Israel agar patuh kepada gencatan senjata yang diusulkan di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) agar bantuan makanan dan perubatan dapat disalurkan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD. ANUAR RAMLI
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya