Rombak Kabinet satu lagi retorik kerajaan?

Rombak Kabinet satu lagi retorik kerajaan?

PENANGGUHAN rombakan Kabinet hanya tanggapan tidak bagus bagi kerajaan memerintah.– PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEKOSONGAN jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berikutan kematian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub agak terlalu lama dibiarkan tidak terisi walaupun selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram serta terbaru, Pelangai diadakan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah memberitahu akan melakukan rombakan Kabinet tetapi sekiranya ia tidak berlaku, maka lebih wajar kekosongan itu diisi oleh pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah).

Namun, apa yang terjadi kini, Anwar kerap dilihat cuba mengelak daripada menyatakan perkara sebenar kepada pengamal media. Sebaliknya beliau terus berteka-teki.

Adakah kekosongan jawatan ini dianggap kurang penting oleh Anwar? Bahkan rombakan jemaah menteri selepas 100 hari yang pernah diperkatakannya juga penting untuk memberi bayangan Kabinet agar lebih efektif selain membolehkan mereka memainkan peranan berkesan sekali gus menggambarkan Anwar serius terhadap kerangka gagasan yang diinspirasikan dalam menjayakan misi Membangun Malaysia Madani.

Jika tidak, apa yang diperkatakan selama ini hanya akan dipandang retorik semata.

Namun, tidak dinafikan kuasa prerogatif yang ada pada seorang Perdana Menteri berhak menentukan sama ada perlu melakukan rombakan ataupun tidak, Namun, perkara ini wajar juga diberikan perhatian supaya kekosongan seorang menteri janganlah dibiarkan terlalu lama.

Ini memberi tanggapan tidak bagus bagi kerajaan yang memerintah. Lagipun negara kita hampir-hampir sahaja mengalami krisis kekurangan bekalan makanan serta kenaikan harga barang.

Contohnya, kekurangan beras tempatan di pasaran. Malah banyak pihak turut membangkitkan perkara ini dengan serius.

Justeru, Anwar perlu segera dan tidak berlengah-lengah lagi dalam hal ini sekiranya mempunyai rancangan untuk merombak jemaah menteri sedia ada.

Jika tiada sebarang perubahan dalam masa terdekat, maka jangan persalahkan rakyat jika Perdana Menteri masih dikecam atau dicerca terutama daripada blok pembangkang yang sentiasa mencari kesalahan dan mempertikaikan kepimpinan Anwar yang didakwa oleh mereka sebagai gagal membawa perubahan besar kepada negara.-UTUSAN

WALI TOK SONGEI
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya