SAUDARA PENGARANG,
ESOK genap setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Sepanjang tempoh itu, kita dapat melihat kesungguhan beliau membina wajah politik baharu dengan menyuburkan elemen demokrasi dan mencetuskan imej sebuah negara yang bebas daripada tohmahan rasuah.
Namun, sikap mendukung orang parti sendiri dalam kerajaan perpaduan masih menebal. Selain itu, isu utama lain yang harus diatasi beliau adalah sejauh manakah pasukan jemaah menterinya cakna dan serius memahami keresahan rakyat mengenai peningkatan kos sara hidup.
Mungkin ini disebabkan sikap keakuan dan kepartian politik. Kita juga boleh melihat ada dalam kalangan pemimpin kerajaan perpaduan yang masih lagi tidak menyerap sepenuhnya roh madani.
Secara peribadi saya agak bimbang dengan kenyataan terbaharu ahli politik veteran, Tan Sri Annuar Musa yang mempertikaikan sentuhan emas atau kepandaian dan kebijaksanaan yang dimiliki Anwar selama ini?
Bukan itu sahaja, terdapat dakwaan Anwar tiada kemahuan untuk mengubah sistem percukaian yang lemah daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Kerana itu, kerajaan perlu mengambil serius terhadap sebarang kritikan dan pandangan daripada penentang Anwar mahupun kerajaan perpaduan kerana adakalanya ia terbukti benar.
Antaranya, kerajaan atau jemaah menteri tiada idea baharu ataupun gagal untuk menjanjikan penurunan harga barang dan minyak petrol.
Bahkan, tindakan Anwar yang masih mengosongkan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dianggap sebagai strategi politik bagi seorang Perdana Menteri. Wajarkah dibiarkan terlalu lama jawatan itu tanpa seorang pengganti?
Dalam pada itu, kerajaan tidak boleh menafikan kenyataan Annuar mengenai kelompok 60 peratus rakyat akan menerima tempias akibat tekanan kenaikan kos sara hidup menjelang tahun depan, ditambah pula krisis ekonomi global yang sedang memuncak.
Justeru, terpulanglah kepada Perdana Menteri sendiri sama ada untuk terus melakukan tindakan yang kurang popular atau kekal berpendirian untuk tidak menambah baik prestasi barisan jemaah menterinya.
Tempoh masa yang masih berbaki paling mencabar buat seorang Perdana Menteri untuk berhadapan dengan desakan rakyat yang menuntut perubahan lebih baik. – UTUSAN
CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang