Perkenal pendidikan percuma sehingga peringkat universiti - Utusan Malaysia

Perkenal pendidikan percuma sehingga peringkat universiti

TIDAK logik gaji permulaan lepasan ijazah di negara ini tidak jauh beza dengan paras gaji minimum pekerja tidak mahir iaitu RM1,500 sebulan. – GAMBAR HIASAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 4 Ogos lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli meluahkan kebimbangan apabila melihat kecenderungan gaji permulaan untuk lepasan ijazah di negara ini tidak jauh beza dengan paras gaji minimum pekerja tidak mahir iaitu RM1,500 sebulan.

Dengan paras gaji graduan amat rendah bersama-sama dengan kenaikan harga barang dan kadar sewa rumah adakah wajar untuk melaksanakan skim potongan gaji berjadual (PGB) sebagai satu kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini?

Adakah skim ini sama seperti diumumkan oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019 di mana kerajaan pada masa itu hendak melaksanakan potongan gaji antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam PTPTN yang memperoleh lebih daripada RM1,000 sebulan?

Bagi memastikan graduan yang menerima gaji rendah tidak terus terbeban untuk membayar balik pinjaman PTPTN, sudah sampai masanya kerajaan melaksanakan pendidikan percuma pada semua peringkat sehingga pendidikan tinggi. Ini kerana pendidikan bukan satu komoditi dan tidak harus diniagakan.

Dalam pada itu, pelupusan hutang PTPTN akan membantu ramai dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) dengan menambahkan pendapatan boleh guna. Secara keseluruhan, apabila pendapatan yang boleh digunakan meningkat, para graduan akan mempunyai lebih banyak wang untuk disimpan atau dibelanjakan dalam ekonomi tempatan dan keperluan asas lain.

Pada masa sama, bagi mereka yang masih berhutang dengan PTPTN, saya sedar jumlah pinjaman institusi kewangan dan pinjaman sukuk berjaminan yang ditanggung oleh perbadanan itu adalah sangat tinggi untuk kerajaan melupuskannya sekali gus.

Oleh itu, satu satu komitmen dan pelan tindakan jangka masa pendek dan sederhana harus diperkenalkan oleh kerajaan untuk melaksanakan pendidikan percuma di semua peringkat untuk rakyat Malaysia.

Sebagai langkah permulaan, kerajaan harus membiayai yuran pendidikan golongan B40 sepenuhnya di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) khususnya dalam kalangan graduan generasi pertama yang belum ada ahli keluarga yang melanjutkan pengajian ke IPT.

Kerajaan juga harus mengambil alih institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang dimiliki oleh syarikat milik kerajaan (GLC) dan menjadikannya sebagai IPTA.

Kerajaan perlu merancang untuk membuka lebih banyak IPTA selaras dengan peningkatan populasi.

Langkah-langkah ini harus dibuat, kerana situasi sekarang yang melibatkan satu perbadanan bergantung kepada pinjaman daripada pasaran untuk meminjam wang kepada anak muda negara kita adalah tidak mampan.

Berapa banyak pinjaman lagi yang PTPTN hendak ambil untuk menampung kos operasi dan memberi pinjaman? Hanya langkah ‘menyelamat’ oleh kerajaan dan pelupusan sepenuhnya merupakan solusi untuk PTPTN. Ia boleh dijadikan sebagai pelan tindakan jangka masa sederhana. – UTUSAN

GANDIPAN NANTHA GOPALAN
Petaling Jaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya