Pengguna lega harga ayam stabil

Pengguna lega harga ayam stabil

LANGKAH kerajaan mengapungkan harga ayam dapat mewujudkan persaingan sihat antara peniaga. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 1 November lepas, kerajaan mengumumkan keputusan untuk menamatkan subsidi ayam dan langkah yang diambil itu mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif dalam kalangan masyarakat.

Ada yang khuatir harga ayam pasti melambung tinggi dengan ketiadaan subsidi tersebut dan ada juga yang bimbang permintaan terhadap sumber protein utama negara itu bakal berkurangan.

Bagaimanapun, selepas beberapa minggu penarikan subsidi dibuat, harga ayam di pasaran tidaklah naik mendadak seperti yang dibimbangkan. Malah, ada juga harga di sesetengah kawasan yang dilihat jauh lebih murah daripada sebelum ini.

Saya sendiri mengikuti rapat isu ini dan jika dilihat menerusi tinjauan di media sosial, rata-rata pengguna memberi maklum balas positif berkenaan harga ayam yang ditawarkan peniaga sejak penamatan subsidi bermula.Ada yang berpendapat, harga yang ditawarkan lebih stabil dan akan terkawal dengan berlakunya lambakan bekalan. Saya pasti kerajaan juga mempunyai alternatif lain seperti mengimport bekalan ayam dari negara lain sekiranya ada pihak yang mengawal pasaran.

Bukan itu sahaja, ada juga pengguna media sosial yang berpendapat langkah kerajaan mengapungkan harga ayam adalah satu tindakan bagus kerana dapat mewujudkan persaingan sihat antara peniaga.

Dalam konteks ini, sudah tentu peniaga juga mahu memperoleh keuntungan dengan menawarkan harga yang mampu milik buat pelanggan mereka dan rata-rata peniaga juga tidak menaikkan harga sesuka hati walaupun tanpa subsidi.

Bagaimanapun, apa pun tindakan yang diambil kerajaan perlu sentiasa peka dan cakna dengan perubahan harga yang berlaku.

Selain itu, kerajaan perlu memainkan peranan penting daripada segi membuat pemantauan harga secara mengejut di beberapa lokasi seluruh negara bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga ayam di pasaran sehingga membebankan pengguna.-UTUSAN

ANDIKA BAYU
Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya